Bola Sepak Komuniti

KUFC hargai jasa dan pengorbanan bekas pemain Kelantan


Che Abdullah (kiri) meluangkan masa mengunjungi Mazlan (dua,kiri) yang kini diuji dengan serangan angin ahmar menyebabkannya hanya mampu berehat dirumah. (Foto : FB KUFC)
NAMA Mazlan Mohd Ragam cukup gah pada satu ketika dahulu setanding dengan nama yang lain sewaktu beraksi bersama Kelantan dan Malaysia dalam arena bola sepak negara pada era 80an.
Bekas pemain itu bukan sahaja telah memperkuatkan Sang Kijang pada tahun tersebut malah beraksi disamping penjaga gol terbaik Kelantan seperti Yap Kam Choon dan juga Halim Ramli.
Bagaimanapun, semua itu hanya kenangan lama kerana pada bulan Disember yang lalu, Mazlan Mohd Ragam diuji dengan serangan angin ahmar atau mini strok menyebabkan beliau kini hanya mampu berehat dirumah.
Mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada pasukan negeri, Presiden Kelantan United FC, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll serta Ahli Parlimen Tumpat meluangkan masa menziarahi pemain veteran itu di Kampung Belukar.
Perkembangan ini dikongsikan KUFC menerusi laman FB pasukan dengan lawatan yang mematuhi SOP PKP Yang sangat ketat itu diiringi oleh  Rusli Abdullah selaku ADUN tempatan.
Selain bertanya khabar, Che Abdullah turut mengimbau kenangan sewaktu Mazlan beraksi bersama Kelantan. Banyak cerita lama dikongsikan kedua-dua pihak sepanjang kunjungan tersebut berlangsung.
Jelas Che Abdullah, kunjungan ini bukan sekadar bertanya khabar tetapi menunjukkan pihaknya amat menghargai jasa dan pengorbanan pemain terdahulu untuk mengharumkan nama negeri.
“Kita sepatutnya menghargai jasa orang lama, pengorbanan mereka buat pasukan Kelantan dan negara amat besar. Jangan sesekali kita generasi baru pada hari ini melupakan setiap sumbangan mereka”
“Saya mendoakan Mazlan Mohd Ragam cepat sembuh dari segala penyakit dan dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala”. jelasnya.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading