Bola Sepak Komentar Terkini

“HIDUPKAN” SEMULA BOLASEPAK MALAYSIA


WARKAH TERBUKA UNTUK PERDANA MENTERI

Daripada peminat bolasepak Mohd Fariq

Kepada:
Perdana Menteri Malaysia,
YAB Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin,
Pejabat Perdana Menteri, Aras 5 Blok Utama Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62502 Putrajaya.

ASSALAMUALAIKUM W.B.T dan salam sejahtera kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

Semoga Yang Berhormat Tan Sri sentiasa mendapat limpah rahmat daripada Allah S.W.T dan terus dikurniakan kesihatan terbaik dalam terus mentadbir negara kita tercinta.

YAB Tan Sri,

Warkah ini penulis ingin tujukan kepada YAB Tan Sri di mana penulis ingin berkongsi polemik yang sedang berlaku di dalam industri bola sepak dalam negara kita.

Seperti YAB Tan Sri telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali berkuatkuasa pada 13 Januari lalu, kita semua menyaksikan banyak larangan termasuk sukan bola sepak dijalankan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Pertama, cukup jauh di sudut hati penulis untuk menidakkan PKP di mana umum mengetahui bahawa pelaksaan kaedah ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghapuskan rantaian Covid-19 yang semakin serius menular dalam negara kita.

Namun, kita semua masih dapat melihat keputusan ‘lima angka’ kekal aktif merujuk kes pesakit baharu Covid-19 di mana ia dilihat semakin serius saban hari demi hari.

Bagaimanapun penulis tetap yakin bahawa rakyat sentiasa berusah keras untuk mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh pandemik ini.

Namun apa yang tergerak hati penulis untuk menulis warkah secara terbuka kepada YAB Tan Sri adalah berkenaan sektor sukan terutama membabitkan bola sepak negara.

YAB Tan Sri,

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu, kita semua menanggung keperitan khususnya membabitkan sektor ekonomi di mana terlalu banyak perniagaan sedang menangung kerugian.

Banyak industri-industri dan bola sepak tidak terkecuali tidak dapat dijalankan disebabkan pelaksanaan PKP serta SOP yang menuntut penjarakan fizikal, wajib memakai pelitup muka dan sentiasa memerika suhu badan bagi mengelakkan sebarang gejala wabak Covid-19 ini berlaku.

Penulis sekali lagi ingin menekankan bahawa pelaksanaan PKP tidak menjadi isu besar di mana mekanisme tersebut adalah jalan terbaik untuk mengekang wabak Covid-19 buat masa ini sementara menantikan ketibaan vaksin.

Namun dalam masa yang sama penulis mengharapkan kebijaksaanan dan hemah daripada YAB Tan Sri bagi menilai sudut industri bola sepak yang juga pemangkin kepada ekonomi negara.

YAB Tan Sri,

Secara praktikal, Liga Malaysia telah menyumbangkan pendapatan melebihi RM200 juta kepada ekonomi negara sebelum berlakunya wabak Covid-19 ini.

Bola sepak kini bukan tampil sebagai sukan semata-mata sebaliknya ia diangkat menjadi salah industri yang mampu merangsangkan ekonomi negara.

Industri bola sepak bukan sahaja melibatkan pasukan dan pemain sahaja tetapi ia turut berkait rapat dengan penaja, peniaga, perusahaan, cukai dan lain-lain.

Tahun lalu kita menyaksikan Malaysian Football League (MFL) dapat mengelola Liga Malaysia dengan selamat atau lebih tepat, tiada sebarang kluster berlaku dalam sukan bola sepak kita sepanjang bermain 11 perlawanan membabitkan Liga Super dan Liga Premier selaras saranan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru secara faktanya MFL dapat melaksanakan tugas dengan baik ketika memgelolakan perlawanan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, bola sepak negara tetap menangung kerugian hampir separuh daripada nilai sebenar disebabkan pelaksanaan PKP di mana impak ini cukup besar kepada ekonomi negara.

YAB Tan Sri,

Di sini kebijaksaan YAB Tan Sri hanya mampu menyelamatkan industri bola sepak negara.

Ini kerana jika diikutkan logik, mengapa kejohanan bola sepak tidak dapat dijalankan sedangkan kita semua melihat aktiviti pasar malam atau pusat membeli belah masih dibenarkan dalam tempoh PKP.

Malah kejohanan Liga Malaysia berjalan dengan lebih ketat hasil daripada SOP yang wajib memerlukan ujian calitan tidak seperti sektor-sektor lain.

Penulis tidak berniat untuk menidakkan sektor lain tetapi dalam masa yang sama ingin menuntut keadilan bagi sukan bola sepak negara.

Selaras dengan visi kerajaan yang diketuai YAB Tan Sri iaitu mahu mendahulukan kesejahteraan rakyat, pemain dan pegawai bola sepak juga adalah rakyat yang menagih tuntutan sama seperti sektor lain.

Ini kerana pegawai dan pemain juga sama seperti pekerja industri sektor lain dan kekangan-kekangan tertentu sudah pasti memberikan kesan kepada mata pencarian mereka dalam mencari rezeki kepada keluarga.

YAB Tan Sri,

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi pengantara pihak kerajaan dan badan induk persatuan bola sepak negara berkenaan sebarang SOP atau pelaksanaan kejohanan dalam tempoh PKP.

Reezal menjadi individu penting dalam usaha membantu menghidupkan kembali industri bola sepak tempatan dalam tempoh PKP ini.

Namun penulis dapat beri jaminan bahawa MFL bersedia untuk membawa pemilik-pemilik kelab bertemu dengan YAB Tan Sri jika diberikan peluang.

Di situ YAB Tan Sri dapat mendengar suara-suara daripada pemilik-pemilik kelab dan asbab yang kukuh mengapa Liga Malaysia wajib dijalankan.

Jika di Eropah seperti England, Sepanyol atau Itali, aktiviti bola sepak dibenarkan bukan sahaja membabitkan ekonomi sebaliknya jenama itu memberikan kesan cukup besar kepada negara mereka.

Malah Malaysia juga tidak terkecuali di mana melalui Liga Malaysia, nama negara kita turut mendapat pendedahan daripada media luar negara seperti Afrika, Brazil, Argentina, Singapura dan lain-lain lagi.

YAB Tan Sri,

Penulis berharap YAB Tan Sri sudi meluangkan masa untuk dengar luahan ini.

Ini kerana warkah ini mewakili jutaan peminat bola sepak di seluruh negara dan pinta kami hanyalah satu iaitu benarkanlah sektor bola sepak Malaysia dibuka.

Ini kerana penulis percaya permintaan itu bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia bukan semata-mata mahu melanggar SOP atau PKP sebaliknya ia adalah kepentingan survival industri bola sepak Malaysia.

Malah, YAB Tan Sri sendiri pernah memegang portfolio sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1995 sehingga 1999 di mana penulis sangat yakin bahawa Yang Berhormat Tan Sri lebih arif berkenaan industri bola sepak tempatan.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Tan Sri di atas kesudian mengambil masa untuk membaca surat terbuka ini.

Yang pasti kebijaksanaan dan hemah YAB Tan Sri menjadi jalan terakhir untuk menyelamatkan Liga Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

MOHD FARIQ
Kuala Lumpur.

**Mohd Fariq mempunyai pengalaman sebagai penulis bola sepak negara lebih 25 tahun


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading