Bola Sepak Semasa Terkini

Elissetche sedia heret KLUFC ke FIFA

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

BELUM pun saingan Liga Malaysia 2021 bermula, kancah bola sepak tempatan mula dihidangkan berita kurang menyenangkan apabila tuntutan pampasan RM3.5 juta dikemukakan bekas pengendali Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Simon Elissetche ke atas  bekas majikannya itu.

Kecewa dengan kenyataan KLUFC yang disiarkan dalam akhbar, pengendali kelahiran Chile ini menyifatkan kenyataan yang disiarkan tersebut mempunyai unsur fitnah dan telah mencalar imejnya sebagai jurulatih serta berkemungkinan boleh menyebabkan karier sebagai Ketua Jurulatih terganggu dan sentiasa dipersoalkan.

Bukan sahaja bakal ‘dihadapkan’ ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)  KL United juga dijangka perlu membayar ganti rugi sebanyak RM3.5 juta secara keseluruhan selepas jurulatih daripada Chile itu ditamatkan kontrak tanpa alasan yang munasabah dan didakwa memiliki lesen profesional yang tidak sah.

Jelas Elissetche sidang media hari ini adalah untuk memberikan gambaran sebenar terhadap status sijil kejurulatihannya yang tulen dan disahkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dari pihak KLUFC apabila menyatakan saya tidak mempunyai lesen yang diiktiraf. Seolah-olah ingin membunuh karier saya sebagai jurulatih.

“Berita ini juga dipetik oleh beberapa portal sukan antarabangsa terutamanya di Indonesia, iaitu sebuah negara di mana saya telah berkhidmat sebagai jurulatih dalam tempoh yang lama,” jelasnya pada sidang media di pejabat peguamnya, Fahmi Zhafri Asraf & Co, sebentar tadi.

Elissetche (kiri) bersama surat pengesahan lesen dari AFC, manakala peguamnya, Mohd Zhafri (kanan) menunjukkan kontrak perjanjian yang telah ditandatangani.

Sementara itu peguam yang mewakilinya, Mohd Zhafri Aminurashid berkata, prosiding perundangan terhadap KLUFC bagi menegakkan hak Simon Pablo yang telah dicabuli akan dijalankan.

“Ini adalah kes penamatan kontrak sebelah pihak di mana KL United tidak mahu meneruskan kontrak bersama Simon dengan alasan tidak munasabah.

“Jadi, kita akan mengambil dua tindakan iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.

“Tuntutan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas sebab yang hanya diketahui mereka, mereka tidak meneruskan kontrak bersama Simon.

“Kita akan meminta ganti rugi dengan anggaran RM500,000 untuk kes FIFA selain pampasan RM3 juta untuk tuntutan sivil. Dia begitu kecewa dengan perkara ini dan tidak mahu selesaikannya di luar mahkamah,” ujarnya.

Elissetche menunjukkan kad lesen kejurulatihan AFC yang dimilikinya.

 

Untuk rekod sebelum ini, KL United FC telah mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Timor Leste, Simón Elissetche sebagai ketua jurulatih baharu mereka, bagaimanapun, sijil kejurulatihan pengendali dari Chile itu tidak diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menyebabkan mereka memutuskan untuk memilih Bojan Hodak.

“Saya tidak dapat menunggu lagi (untuk mendapatkan kesahihan lesen kejurulatihan Simon Elissetche tetapi jika membandingkan ringkasan latar belakang kerjaya antara kedua-dua individu ini, saya dapat katakan bahawa ia adalah keputusan berkaitan bola sepak kerana kami mahukan jurulatih yang mempunyai rekod prestasi yang lebih baik,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif KLUFC, Stanley Bernard Stephen Samuel kepada Bernama , baru-baru ini.

KRONOLOGI ISU TUNTUTAN PAMPASAN DARI SIMON ELISSETCHE

  • Menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur pada 18 November 2020 setelah memulakan perbincangan melalui agen saya pada Oktober 2020.
  • Tiba di Kuala Lumpur pada Disember 2020 dan telah menjalani kuarantin selama 7 hari sehingga 28 Disember 2020. Saya juga telah berjumpa dengan pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur untuk berbincang pelbagai perkara berkaitan dengan perancangan pasukan.
  • Telah dimaklumkan sendiri oleh CEO KLUFC , Stanley bahawa latihan pra-musim dijadualkan pada 4 Januari 2021.
  • Namun pada 4 Januari 2021, telah dimaklumkan oleh Stanley bahawa saya tidak dibenarkan mengikuti latihan di padang sehingga mendapat keputusan pengesahan dari AFC.
  • Namun tetap memberikan program latihan saya kepada jurulatih-jurulatih yang lain semasa tempoh tersebut untuk dilaksanakan.
  • Pada 8 Januari 2021,  telah dimaklumkan bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi. Dibiarkan begitu sahaja tanpa bantuan kewangan mahupun molal dari pihak KLUFC.
  • Pada 11 Januari 2021, AFC telah mengeluarkan surat pengesahan lesen yang mengesahkan bahawanya adalah berkebolehan dan kompeten untuk menjadi jurulatih selari dengan Article 3 of Recognition of Experience & Current Competence.
  • Namun pada hari yang sama saya mendapat tahu bahawa KLUFC telah melantik Ketua Jurulatih lain untuk menggantikan tempat saya.
  • Pada 26 Januari merujuk kepada artikel oleh Bernama.com  yang menyatakan bahawa sijil kejurulatihan Simon Elissetche tidak diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang telah menyebabkan Kuala Lumpur United Football Club (‘KLUFC’) telah memilih Hodak sebagai ketua jurulatih.
  • 27 Januari, Simon Elissetche melalui peguamnya Fahmi Zhafri Asraf & Co mengadakan sidang media yang menuntut pampasan RM3.5 juta dan permohonan maaf dari KLUFC. Seandainya tiada tindakan diambil kes ini diteruskan melalui tindakan saman sivil atas fitnah yang dilakukan terhadapnya serta membawanya kepada pengetahuan FIFA.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: