Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

DAPATKAN VAKSIN, MISI SETERUSNYA !

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh MOHD FARIQ

SEJAK seminggu dua kebelakangan ini, penulis masih boleh mengukir senyuman di sebalik mengharungi detik sukar pandemik Covid-19.

Kelegaan penulis itu hadir selepas membaca berita di dada akhbar yang melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) bergiat keras melaksanakan agenda masing-masing.

FAM melalui Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa pihaknya telah membuat permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan vaksin secara terus.

Langkah itu dibuat sebagai persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Susun atur FAM semakin pantas sebaik mendapat kebenaran untuk menjalani sesi latihan berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN) mengikut Standard Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara MFL pula terus membuka pelan terbaharu di mana Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mendedahkan pemindaan tarikh sepak mula Liga Malaysia bakal berlangsung pada 5 Mac depan.

Apa yang membuatkan penulis semakin menaruh harapan adalah Ab Ghani memberikan jaminan bahawa MFL tetap akan memastikan kalendar liga tempatan berjalan walaupun Piala FA menjadi mangsa korban dan tidak akan pertandingkan lagi dalam penjadualan Liga Malaysia musim ini.

Cuma terlintas di benak fikiran penulis, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pasukan-pasukan juga harus memainkan peranan dalam menjayakan perancangan FAM dan MFL.

INISIATIF PASUKAN MENDAPATKAN VAKSIN SECARA TERUS

Mungkin tidak keterlaluan juga buat pasukan-pasukan berusaha untuk mendapatkan bantuan pihak kerajaan bagi pembelian vaksin secara terus.

Apa bentuk mekanisme pembelian vaksin sama ada pemotongan geran, hak penyiaran atau lain-lain bergantung kepada komuniti ini sendiri tetapi pokok pangkalnya adalah usaha untuk memastikan Liga Malaysia kembali berjalan tanpa sebarang was-was.

Kemungkinan nilai vaksin dianggarkan lebih RM100,000 untuk kesemua pegawai dan pemain yang mungkin dalam anggaran sekitar 400 orang atau lebih dalam Liga Malaysia tetapi ini adalah kebaikan bersama, bukannya semata-mata kepentingan individu sahaja.

Malah penulis juga difahamkan bahawa MFL juga berusaha untuk memohon dengan pihak kerajaan untuk mendapatkan vaksin secara terus.

Syabas diberikan kepada kedua-dua organisasi ini yang telah berhempas pulas memastikan agenda nasional dan perjalanan Liga Malaysia berada dalam landasan.

KERAJAAN JADI HARAPAN TERAKHIR UNTUK KEBANGKITAN BOLA SEPAK NEGARA

Kini masyarakat terutama penyokong bola sepak tempatan mahu menaruh keyakinan kepada pihak kerajaan.

Ini kerana penulis percaya pihak kerajaan menjadi harapan terakhir buat penyokong dalam merealisasikan misi penting FAM dan MFL.

Membekalkan vaksin secara terus adalah formula terbaik untuk menyelamatkan industri bola sepak Malaysia buat masa ini daripada pandemik Covid-19.

Dengan adanya vaksin, bukan sahaja pihak kerajaan membantu pasukan kebangsan yang kini berada dalam landasan terbaik untuk secara automatik ke saingan Piala Asia 2023 selepas tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Malah pihak kerajaan juga dapat menyelamatkan industri bola sepak yang memiliki nilai lebih daripada RM200 juta sekali gus ia turut membantu ekonomi negara.

Bukankah ini satu perkhabaran yang positif untuk negara selepas menyaksikan ekonomi tempatan tidak rancak sepanjang tempoh pandemik ini?

RAKYAT TAGIH SOKONGAN DARIPADA PIHAK KERAJAAN

Penulis tiada niat untuk mendesak atau memberikan tekanan kepada pihak kerajaan tetapi suka atau tidak, vaksin sahaja menjadi penyelesaian dalam masalah pandemik Covid-19 ini.

Jika ada vaksin, sudah pasti kejohanan bola sepak dibenarkan berlangsung dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lebih tepat, barisan pegawai dan pemain bebas daripada setiap ancaman virus Covid-19.

Rayu penulis kepada pihak kerajaan, bantulah FAM dan MFL dalam urusan mereka mendapatkan vaksin secara terus.

Akhir kata daripada penulis, Harimau mati meninggalkan belang.. manusia mati meninggalkan nama.

BOLASEPAK MALAYSIA SELAMANYA!

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: