[videopress yiwMMOoy]
SUBKHI SUDARJI dan MOHD IZARI ROSLI
TERBARING tiga bulan tanpa mengetahui masalah kesihatan yang dihidapinya bukanlah perkara mudah buat Affize Faisal Mamat yang ketika itu hanya terfikirkan kematian walaupun pelbagai rawatan moden dan tradisional telah dilakukan.
Menjalani seisi pemilihan dengan sebuah pasukan berpengkalan di Lembah Klang, Affize mula menghadapi masalah kesihatan dengan muntah setiap kali dia menjamu selera walaupun hanya meminum air.
Bekas pemain skuad Harimau A (2011-2012) ini pada mulanya menyangkakan ianya hanya masalah gastrik namun jangkaan itu meleset selepas menjalani rawatan disebuah hospital swasta.
“Doktor yang merawat saya memaklumkan tiada sebarang masalah kesihatan dan menyarankan agar saya berehat tetapi masalah sama timbul setiap kali saya makan mahu pun minum sebelum saya mendaparkan rawatan tradisional di Terengganu.
“Jawapan yang diberikan Ustaz juga sama tiada apa-apa yang pelik berlaku. Saya buntu ketika ini dikala saya menahan kesakitan dan hampir tidak mampu bergerak ketika itulah juga isteri sedang sarat mengandung,” jelasnya kepada CakapSukan.
Affize yang juga bekas pemain skuad B19, B21 dan B23 hanya berserah kepada Allah dengan keadaan dialaminya pada 2018 dengan hanya terbaring tanpa mampu bergerak.
“Bila berdepan dengan situasi ini, semuanya datang dalam kepala, kemurungan dan tekanan malah adakalanya saya hanya terpikir dekat dengan kematian. Hampir tiga bulan saya terbaring dengan keadaan isteri sedang sarat mengandung semua ini agak sukar dihadapi.
“Sehinggalah seorang kawan datang memaklumkan bahawa masalah yang dihadapi ini hanya boleh diatasi dengan kawalan pemakanan yang seimbang dan rehat secukupnya.
“Alhamdulillah 2019 saya mampu bangun walaupun tidak segagah yang mana tetapi ada perubahan. Pemakanan berpantang yang diamalkan banyak membantu saya sehinggalah kini saya dapat meneruskan kehidupan walaupun tidak semewah sebagaimana sebelum ini tetapi saya bersyukur dengan nikmat kesihatan serta kebahagian bersama keluarga,” tegasnya.
Bangkit dari kesukaran tersebut, pemain yang pernah menyarung jersi ATM pada awal pembabitan bola sepak profesional ini tetap menyimpan hasrat beraksi di atas padang tetapi hanya terhad bagi saingan Liga Amatur.
“Jiwa bola sepak saya tetap ada tetapi saya juga akui dengan tenaga untuk bermain dalam Liga Amatur itu bolehlah tetapi bukan profesional.
“Saya juga menyimpan hasrat untuk menjadi jurulatih pada masa akan datang,” katanya.
Bagi menampung kehidupannya di Lembah Klang, Affize kini menjalankan perniagaan menjual Nasi Dagang dan khidmat penghantaran barangan dari rumah ke rumah.
“Syukur Allah berikan kesembuhan dan kekuatan untuk bangkit meneruskan kehidupan serta ruang mencari rezeki. Semua yang berlaku ada hikmahnya dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan serta saudara mara yang mendoakan kesihatan saya,” jelasnya yang membuka gerai perniagaan resepi ibunya di 1-19, Jalan PUJ 3/1, Taman Puncak Jalil, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Selain jualan Nasi Dagang yang mendapat sambutan hangat, Affize juga menjual Laksam dan Nasi Lemak di gerainya yang dibuka seawal jam 7.45 pagi setiap hari kecuali tutup pada hari Rabu.
**Untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan semasa Affize bolehlah melayari ..https://www.youtube.com/watch?v=SLy6i3NvXZ4





[…] Affize Faizal Mamat, beliau kini hanya bermain bola sepak secara amatur. Dalam temubual bersama Cakap Sukan awal tahun lalu, beliau seperti memberi gambaran mengalami penyakit misteri yang mengganggu […]