Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, FAM sudah adakan perbincangan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Stuart memaklumkan keputusan perbincangan akan diketahui hujung minggu ini.

SUBKHI SUDARJI

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengadakan perbincangan dengan persatuan bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand dan Indonesia bagi mendapatkan penyelesaian mengenai status aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mac ini.

Langkah ini susulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang memberikan kebenaran kepada semua pasukan dalam kempen kelayakan untuk berbincang dan memutuskan sama ada perlawanan berkenaan boleh berlangsung mengikut jadual yang dirancang atau tidak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata kepada CAKAPSUKAN, keputusan sama ada semua pasukan bersetuju untuk meminda perlawanan sebagaimana dirancang pada Jun atau mengikut tarikh asal akan diketahui hujung  minggu ini.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Indonesia, Thailand dan UAE mengenai perkara ini . Sama ada semua pasukan bersetuju mengadakan perlawanan pada Mac atau Jun akan diketahui hujung minggu ini,” jelasnya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Terdahulu,  Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John menjelaskan semua perlawanan kelayakan perlu dihabiskan pada Jun tahun ini.

“Jadual sudah dikeluarkan, sekarang ini negara yang terbabit boleh buat perbincangan sama ada boleh bermain atau tidak. Kalau tak boleh bermain pada Mac, pindah ke Jun sebab masing-masing mempunyai status COVID-19 yang berlainan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dijadualkan menentang UAE pada 25 Mac di gelanggang lawan dan Vietnam (30 Mac) di Kuala Lumpur sebelum menamatkan perlawanan terakhir Kumpulan G di Bangkok dengan Thailand (15 Jun).

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: