Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

Harimau kembali berlatih

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh MOHD. FARIQ

PERKHABARAN gembira yang dinanti akhirnya kunjung tiba selepas pasukan kebangsaan telah dibenarkan menjalani sesi latihan pusat secara tapak kuarantin dalam tempoh terdekat.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut memberitahu skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu telah mendapat lampu hijau untuk persiapan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 nanti.

Jelas Reezal Merican, skuad Harimau Malaya yang bakal bertemu Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi (26 Mac) dan menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (31 Mac) itu bakal menjalani sesi latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) secara tapak kuarantin dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Tambah Reezal Merican, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan bersama pihak MSN untuk menentukan tarikh mula sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya.

“Pasukan bola sepak kebangsaan akan menjalani sesi latihan pusat di MSN secara tapak kuarantin dan akan ada satu perbincangan bersama pihak MSN berkenaan pendekatan SOP yang telah ditetapkan nanti.

“FAM akan berbincang dengan pihak MSN berkenaan bila mereka mahu mulakan sesi latihan pusat secara tapak kuarantin ini.

“Di pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kami sentiasa memahami ini adalah misi penting buat negara di mana kita semua rakyat Malaysia mahu menyaksikan kejayaan pasukan kebangsaan ketika beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 tetapi dalam masa yang sama semua wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya kepada Cakapsukan, hari ini.

Skuad Harimau Malaya bakal menjalani sesi latihan pusat di MSN secara tapak kuarantin dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Cakapsukan sebelum ini melaporkan satu surat terbuka kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pasukan kebangsaan mengadakan sesi latihan pusat secara semi-kuarantin di mana pasukan kebangsaan hanya dibenarkan ‘berkampung’ satu tempat khusus di mana setiap pemain dan pegawai akan sentiasa dinilai daripada pegawai KKM dari masa ke semasa sepanjang tempoh semi-kuarantin.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad negara berada dalam landasan terbaik untuk layak secara automatik ke saingan Piala Asia 2023 selepas tangga kedua Kumpulan G pusingan kedua dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.

Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, namun sudah hampir 40 tahun Malaysia gagal meraih slot automatik Piala Asia sejak edisi 1980 di Kuwait.

Sementara itu, Reezal Merican berharap pelepasan membenarkan skuad kebangsaan menjalani sesi latihan pusat dapat dijadikan suntikan moral terbaik buat Harimau Malaya dalam misi memburu slot Piala Asia 2023.

“KBS sentiasa ingin membantu jika kami boleh lakukan tanpa melanggar sebarang SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pandemik Covid-19 ini.

“Saya berharap semua pihak dapat faham dengan situasi sekarang dan buat masa ini, inilah (mendapatkan kebenaran menjalani sesi latihan pusat) adalah terbaik kami dapat buat untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: