Bola Sepak Semasa

Zaquan Adha sedia galas cabaran

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Zaquan Adha kembali menabur bakti bersama negeri kelahirannya selepas 10 tahun berkelana.

 

“TIADA tekanan buat saya”, itulah ungkapan Ketua pasukan Negeri Sembilan FC yang baharu, Zaquan Adha Abdul Radzak apabila dia sah memperkuatkan negeri kelahirannya bagi musim 2021.

Diberikan amanah selaku Ketua pasukan dan pemain paling senior dalam pasukan, Zaquan melihat ianya satu tanggungjawab yang perlu dipikul dalam usaha memastikan Negeri Sembilan FC kembali ke kancah Liga Super 2022.

Jelasnya, ianya adalah  satu tanggungjawab yang berat untuk dirinya dan akan memikulnya sebaik mungkin dengan kerjasama rakan sepasukan.

“Saya tidak menganggap benda ini satu tekanan tetapi jadikannya satu cabaran, pengalaman yang dimiliki berkelana hampir 10 tahun akan digunakan membantu pasukan Negeri Sembilan musim ini.

“Kehadiran saya juga diharapkan mampu memberikan impak positif agar dapat mengembalikan zaman kegemilangan pasukan sebelum ini.

“Pasukan sudah lama tidak beraksi di peringkat Liga Super, jadi cabaran saya dan rakan sepasukan untuk memastikan pasukan layak pada musim 2022,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Bangunan baru PBNS, pengumuman pemenang reka cipta logo dan penajaan pakaian musim 2021, semalam.

Mengenai pemilihan pemain yang rata-rata dibarisi pemain baharu, Zaquan Adha menaruh sepenuh kepercayaan buat pengendalinya K Devan yang juga sebelum ini pernah membimbingnya pada zaman kegemilangan pasukan pada 2009 dan 2010.

“Ketika awal penampilan dan kegemilangan saya dalam skuad utama, K Devan adalah jurulatih pasukan ketika itu, tetapi itu adalah 10 tahun lepas, sekarang ini hanya tinggal sejarah, apa yang perlu saya lakukan ialah kembalikan semula zaman kegemilangan pasukan.

“Terima kasih buat pengurusan kerana memberi kepercayaan buat saya untuk menabur bakti di negeri kelahiran,” tegasnya.

Sementara itu, Devan mahu anak didiknya  memberi kerjasama yang terbaik dengan Zaquan demi kelangsungan skuad itu musim ini.

“Dia adalah pemain paling senior, anak jati Negeri Sembilan dan pemain yang telah beraksi di peringkat paling tinggi. Dia memiliki sifat kepimpinan dan pemain-pemain sudah pasti akan menghormatinya,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: