Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

2021: Liga Malaysia harus dijalankan walaupun jika kelewatan tarikh

Oleh MOHD FARIQ

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan tahun 2021 masih tidak memihak kepada kita semua.

Lebih tepat, harapan kita semua selama ini untuk kembali menjalani kehidupan normal bersosial masih belum terlihat sinarnya.

Masakan tidak, angka pesakit Covid-19 tiada menunjukkan sebarang penurunan apabila terbaharu sebanyak 3,309 kes pesakit baharu telah direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam (12 Januari 2020).

Melihat situasi semakin buruk, pihak kerajaan melalui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah bertindak untuk kembali kuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Melaka, Pulau Pinang dan Johor bermula 13 sehingga 26 Januari depan.

Bukan itu sahaja, Perdana Menteri kelapan negara itu turut mengumumkan proklamasi darurat sehingga 1 Ogos depan sebagai satu lagi langkah proaktif untuk terus memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin serius menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Apa yang pasti, keputusan memperkuatkuasa PKP dan proklamasi darurat itu telah menimbulkan tanda tanya mengenai saingan Liga Malaysia bagi musim 2021 yang akan bermula pada Februari 26, 2021.

Jika tahun lalu, kita hanya disajikan satu pusingan sahaja iaitu sebanyak 11 perlawanan melibatkan Liga Super dan Liga Premier berlangsung dalam tempoh pandemik ini.

Sementara kejohanan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan sebagaimana Malaysian Football League (MFL) akur dengan saranan pihak kerajaan dalam mengekang rantaian Covid-19 ketika itu.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM hari ini memutuskan Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan dibatalkan susulan arahan pelaksanaan PKP.

Tahun ini juga kita telah menerima perkhabaran bahawa pasukan kebangsaan terpaksa melupakan pusat panggilan kem latihan pertama yang sepatutnya bermula Sabtu ini sebagai persiapan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 hanya berbaki dua bulan dengan Malaysia dijadualkan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai dan Vietnam di Bukit Jalil pada hujung Mac ini disebabkan PKP.

Ini bermaksud kesemua pasukan kelab Liga Malaysia turut tidak dapat melakukan sesi latihan sebagai persiapan menghadapi musim baharu dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, penulis secara peribadi mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan membenarkan Liga Malaysia musim 2021 dijalankan sebaik pelaksanaan PKP berakhir nanti.

Ini kerana kita telah menyaksikan kerugian hampir RM60 juta secara keseluruhan pada musim lalu di mana kita tidak boleh lagi menanggung kerugian besar itu pada tahun ini.

Terengganu FC kini giat menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga M 2021.

Penulis ingin menekankan bahawa industri bola sepak Malaysia bukan kecil-kecil anak di mana kelangsungan Liga Malaysia mungkin berada dalam keadaan bahaya jika pihak kerajaan masih mengambil keputusan tidak membenarkan kejohanan domestik berlangsung.

Di sini penulis juga mahu mengambil kesempatan untuk memuji MFL di atas kecekapan mereka kuatkuasa Prosedur Standard Operasi (SOP) dalam memastikan tiada sebarang kluster berlaku sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada tahun lalu.

Tahun ini penulis kekal optimis MFL masih memiliki keupayaan itu dalam memastikan Liga Malaysia berjalan seperti biasa tanpa penyokong biarpun cadangan untuk membenarkan penyokong berskala kecil masuk ke stadium telah diusulkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

Bukan apa, kita semua telah melihat kelab-kelab Liga Malaysia telah banyak melabur dengan menandatangani pemain, jurulatih dan sebagainya di mana ia sudah pasti akan menjadi satu tamparan cukup hebat jika Liga Malaysia 2021 terpaksa dibatalkan.

Pemain kebangsaan Singapura dan bekas pemain kelab Hougang United FC, Anumanthan Mohan Kumar antara pemain baharu dibawa masuk Kedah bagi musim 2021.

Kerugian itu tidak seharusnya berlaku di mana kestabilan industri bola sepak tempatan turut merangsangkan ekonomi negara.

Nasihat penulis, mungkin MFL dengan kerjasama KKM mengadakan satu pertemuan untuk membeli vaksin secara terus di mana cadangan ini pengendali Liga Malaysia itu boleh berkongsi pendapat atau idea bersama kelab-kelab dalam taklimat secara virtual bagi menjayakan perancangan itu.

Ini kerana penulis menganggap langkah membeli vaksin secara terus tanpa menunggu pihak ketiga adalah langkah terbaik bagi memastikan setiap pemain dan pegawai kelab berada dalam kondisi terbaik bebas daripada gelaja Covid-19 sekali gus menyakinkan pihak awam betapa seriusnya persiapan Liga Malaysia 2021 untuk diteruskan.

Namun kita harus sedar bahawa tiada apa yang boleh kita lakukan buat masa ini selagi vaksin atau penawar belum diperolehi di mana mencegah rantaian Covid-19 adalah langkah paling terbaik buat masa ini.

Kesimpulannya, Liga Malaysia musim 2021 harus dibenarkan berlangsung bukan sahaja semata-mata sukan itu sendiri sebaliknya kelangsungan kehidupan pemain, pegawai dan juga semua sektor yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang mencari rezeki melalui kelab bola sepak.

Dalam masa yang sama, seluruh kelab yang terlibat dalam Liga Malaysia seharusnya bersatu hati untuk bersama-sama dalam situasi sukar ini dan penulis berharap tidak bermain api dumba ‘luar cakap lain, dalam cakap lain’ disebabkan semata-mata gengaman politikal.

Akhir kata daripada penulis, jangan biarkan Liga Malaysia musim 2021 bernafas dalam lumpur.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: