
PERLAWANAN pusingan akhir Piala Asia 2023 akan diadakan selama 31 hari iaitu pada 16 Jun hingga 16 Julai di China.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berkata, AFC yakin kejohanan yang diadakan di China ini akan menjadi lebih besar dan lebih hebat dalam sejarah bola sepak Asia.
“Kami tahu jawatankuasa penganjur dan Persatuan Bola Sepak China sedang berusaha untuk memastikan ia menjadi kejohanan paling bersejarah pada tahun 2023,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Piala Asia 2023 ini merupakan antara pertandingan terbesar benua untuk pasukan kebangsaan dan 10 bandar yang terpilih dari seluruh China akan menjayakan acara berkelas dunia yang membabitkan 24 pasukan.
Antara bandar yang dipilih menganjurkan perlawanan Piala Asia 2023 ialah Beijing, Changsha, Chengdu, Chongqing, Dalian, Guangzhou, Hangzhou, Shanghai, Suzhou, Tianjin dan Wuhan. Ini kali kedua China menjadi tuan rumah Piala Asia kerana sebelum ini pernah menganjurkannya pada tahun 2004.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sukan China, Du Zhaocai turut menyifatkan Piala Asia 2023 sebagai peluang keemasan untuk mempromosikan bandar-bandar China ke seluruh dunia, meningkatkan ekonomi serta pembangunan sosial tempatan dan memudahkan pertumbuhan bola sepak di seluruh negara.





Add Comment