
MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan lima pegawainya disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab pada 5 Januari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan terbaharu ini diperolehi rentetan daripada kes positif COVID-19 dimana tujuh orang atlet dan seorang pegawai sukan ketika saringan semasa pendaftaran semula atlet – atlet dari balik bercuti hujung tahun lepas.
“Semua pegawai dan anggota MSN yang terlibat semasa proses pendaftaran atlet tersebut telah menjalani ujian swab pada 5 Januari 2021. Seramai 75 pegawai dan anggota MSN telah menjalani ujian berkenaan.
“Hasilnya setelah keputusan ujian diperolehi pada 7 Januari 2021, seramai 3 orang pegawai MSN yang terlibat semasa pengendalian proses pendaftaran tersebut dan 2 orang yang mungkin mendapat jangkitan dari luar telah disahkan positif COVID-19.
“Mereka yang telah disahkan positif tersebut telah menjalani kuarantin diri dirumah masing – masing dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Beliau berkata, MSN juga telah mengarahkan pegawai (PUS) yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan pegawai yang telah disahkan positif untuk menjalani kuarantin diri dirumah masing – masing selama 10 hari dan akan menjalani ujian swab pada hari ke sembilan untuk pengesahan bebas dari jangkitan.
“Setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada KKM, tempat bertugas pegawai yang disahkan positif akan ditutup untuk proses sanitasi akan dilaksanakan secara serta merta.
“MSN sentiasa memberi komitmen sepenuhnya terhadap pematuhan semua SOP yang telah ditetapkan supaya tiada jangkitan lain dikalangan pegawai dan anggota MSN termasuklah atlet-atlet negara,” jelasnya.





Add Comment