
TENAGA Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan perlantikan Datuk Ong Kim Swee selaku Pengarah Teknikal baharu akan meneruskan kesinambungan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM (F:30).
Jelasnya, inilah masanya buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menuai hasil dari Kim Swee yang merupakan tenaga tempatan berbanding import selain kepakaran serta pengalaman yang dimilikinya.
“Melihat dengan keadaan terkini dalam FAM, yang mana rata-rata jawatan dikendali tenaga tempatan, perlantikan Kim Swee amat tepat pada masanya selain statusnya selaku penolong pengarah memberikannya banyak kelebihan.
“F:30 baru dua tahun dilancarkan dan Kim Swee adalah penolong kepada Peter de Roo, jadi bila jawatan pengarah kosong sudah tentu penolong antara individu yang tepat untuk mengalas tanggungjawab berkenaan.
“Lagi pun saya lihat Kim Swee bukanlah orang luar kerana dia memiliki pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), selain kejayaan mencungkil bakat-bakat muda,” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.
Dr Zulbakar berkata, dengan perlantikan Kim Swee, FAM tidak perlu untuk merancangan sesuatu yang baharu yang mungkin mengambil masa lama berbanding F:30 yang telah sedia ada.
“Kim Swee hanya perlu meneruskan perancangan sedia ada dalam tempoh sembilan tahun ini, jika kita lantik orang baharu sudah pasti akan ada perubahan serta perancangan yang ini diketengahkan,” jelasnya.

Sementara itu, Kim Swee berkata, perlantikan baharu ini merupakan tugas besar dan peranan berbeza yang bakal dilaksanakannya.
“Terima kasih Presiden FAM dan pengurusan untuk peluang ini dan kepercayaan yang diberikan.
“Ini adalah tugas besar dan peranan yang berbeza bagi saya tetapi saya percaya dengan pengalaman yang saya miliki, saya akan dapat membantu FAM secara keseluruhan dari pasukan hingga jurulatih untuk meningkatkan bola sepak kita,” ujar Kim Swee dipetik menerusi Twitternya, sebentar tadi.
Terdahulu, FAM telah mengumumkan secara rasmi bahawa bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee telah dilantik sebagai pengarah teknikalnya yang baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.





Add Comment