
Oleh MOHD FARIQ
TAHUN depan bermulalah buku baharu buat pasukan-pasukan yang bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) atas kapasiti sepenuhnya sebagai kelab bola sepak (FC).
Tradisi sebelum ini menyaksikan pasukan berdiri di atas status persatuan bola sepak (FA) tetapi bermula 2021, pemisahan FA menjadi FC telah dikuatkuasakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus memastikan Liga-M berada dalam landasan tepat dengan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pertama, penulis ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah berjaya memenuhi syarat sebagai pasukan berstatus FC dan membuatkan penyokong-penyokong lebih ghairah untuk mengikuti bola sepak tempatan.
Kita dapat melihat betapa meriah dalam laman sosial kelab masing-masing yang memperkenalkan atau mempromosikan pemain-pemain baharu mereka samada status pemain tempatan mahupun import sebelum sepak mula Liga-M membuka tirai dengan perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Kedah FC pada 26 Februari depan.
Apa yang pasti, penulis percaya dengan langkah pemisahan FA kepada FC sekurang-kurangnya dapat membantu daya saing serta kualiti pasukan itu sendiri bergerak dalam peredaran zaman selaras kemahuan bola sepak moden masa kini.

Namun dalam masa yang sama, penulis juga ingin menasihati kepada pasukan-pasukan bertanding supaya sentiasa berhati-hati melakukan pembelian pemain khususnya melibatkan status import dalam saingan Liga-M
Di sini kita seharusnya menanam benih pemikiran baharu di mana kelab-kelab harus lebih bijak memilih pemain-pemain import yang seharusnya menjadi contoh terbaik pemain tempatan.
Tidak perlu disangkal lagi bahawa Liga-M telah berjaya menambat perhatian seluruh Asia termasuk dunia selepas beberapa siri kejayaan termasuk JDT memenangi Piala AFC pada tahun 2015 dan Faiz Subri dinobatkan pemenang anugerah Puskas pada 2016.

Malah ada laporan mengatakan Liga-M antara salah satu liga yang menawarkan pendapatan tinggi sekali gus tidak hairan mengapa pemain-pemain asing cukup berminat untuk datang ke bumi Malaysia ini.
Bagaimanapun berapa ramai kita melihat pemain-pemain import menepati standard seperti yang diharapkan di mana hanya segelintir sahaja menunjukkan prestasi luar biasa.
Penulis tidak mahu memetik mana-mana nama tetapi penulis yakin peminat dapat melihat situasi itu berlaku di mana persembahan mereka hanya ‘terbaik’ ketika kontrak mereka menuju di babak pengakhiran dan selebihnya hanya bermain setaraf dengan pemain tempatan.
Justeru penulis percaya Liga-M itu perlu mengubah atau mengangkat reputasi liga kita sendiri.
Jika perlu ada sedikit ‘lagak’, maka teruskan kerana kelab-kelab kita sekarang harus bijak menilai prestasi pemain import dengan menghantar scouting dan bukannya sekadar menyaksikan Resume mereka ini menerusi YouTube semata-mata.

Selaras 100 peratus pasukan berstatus FC bermain pada musim hadapan, penulis juga percaya pemikiran kelab-kelab harus bergerak seiring dalam soal pemilihan pemain import.
Ini kerana kita tidak mahu melihat Liga-M menjadi tempat ‘pembuangan’ pemain-pemain import dari liga lain di mana sebenarnya peranan pemain import bukan semata-mata lebih bagus daripada pemain tempatan sebaliknya mampu membimbing pemain tempatan menimba ilmu.

Kata pepatah, ukur baju di badan sendiri di mana penulis berharap kelab-kelab juga tidak ‘buta’ untuk menandatangani pemain import tanpa memikirkan aspek kualiti dan sikap profesionalisme mereka itu sendiri.
Akhir kata daripada penulis, berpada-padalah memberikan gaji cukup besar kepada pemain import dengan mengenalpasti kemampuan kelab sendiri dan ingatlah, Liga-M bukan taman tema untuk pemain asing.
(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)








Add Comment