Bola Sepak Semasa Terkini

Skuad B19 rasai kekecewaan namun hormati keputusan FIFA

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Sebahagian barisan pemain B19 yang dipanggil menyertai kem latihan Julai lalu.

SUSULAN keputusan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) mengumumkan pembatalan kejohanan Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) di Indonesia, barisan pemain Skuad Bawah 19 tahun negara ketika ini dilihat menzahirkan kekecewaan dengan keputusan berkenaan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, selepas badan induk bola sepak dunia itu mengumumkan keputusan, kekecewaan jelas dirasai barisan pemain yang bertungkus lumus meraih gelaran juara peringkat kumpulan di Kemboja sebelum ini.

“Selepas mereka berjaya menjadi juara peringkat kumpulan mereka dikumpulkan bersama menjalani latihan berpusat di Kelana Jaya sebagai persediaan Piala Dunia Bawah 2o Tahun yang dijadualkan diadakan di Thailand awal tahun depan.

“Saya sendiri melihat kesungguhan pemain menjalani latihan serta perlawanan persahabatan, kerana aksi di Thailand ini akan menentukan kita secara merit,” jelasnya ketika dihubungi CakapSukan, sebentar tadi.

Kamarul Ariffin menjelaskan secara peribadi dia juga merasai kekecewaan dengan keputusan terbabit namun memahami dengan situasi Pandemik Covid-19 dimana keselamatan adalah menjadi keutamaan ketika ini.

“Bagi saya skuad B19 ketika ini adalah skuad Emas yang mampu memberikan cabaran beraksi dipentas lebih tinggi, kejohanan ini adalah sasaran utama pasukan,  ini peluang terbaik kita untuk meraih kejayaan diperingkat, tetapi seperti saya maklumkan tadi keselamatan pemain dan pengurusan juga penting.

“Ini langkah terbaik dan kami menghormati keputusan FIFA,” tegasnya.

Kamarul Ariffin (kanan) mengakui sedikit kecewa namun menghormati keputusan FIFA.

Kesungguhan skuad bimbingan Brad Maloney jelas kelihatan melalui kem latihan yang diadakan pada Julai lalu yang meliputi siri perlawanan persahabatan tempatan antaranya menentang PJ City FC , Selangor 2 dan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan.

Pemain muda seperti Luqman Hakim, Wan Kuzri, Umar Hakeem dan Firdaus Kaironissam antara beberapa senjata baharu pasukan yang menjadi tumpuan bukan sahaja peminat di Malaysia tetapi pasukan-pasukan yang turut diundi dalam pasukan sama.

Terdahulu FIFA memaklumkan pembatalan tersebut bukan hanya melibatkan Piala Dunia B-20 tetapi juga Piala Dunia B-17 di Peru turut dibatalkan.

Namun begitu, Indonesia dan Peru tetap dikekalkan sebagai tuan rumah untuk edisi seterusnya iaitu pada tahun 2023.

“Akibat peningkatan kes COVID-19, Jawatankuasa FIFA memutuskan untuk membatalkan kejohanan Piala Dunia FIFA B-20 dan Piala Dunia FIFA B-17 edisi 2021.

“Indonesia dan Peru yang menjadi tuan rumah pada edisi 2021 tetap dikekalkan sebagai tuan rumah untuk edisi 2023.

“FIFA ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota tuan rumah, dan juga pihak berwajib di Indonesia dan Peru, atas komitmen dan persiapan kejohanan yang telah dilakukan selama ini,” kata kenyataan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

Pembatalan pertandingan itu juga akan memberi kesan pada Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada bulan Mac 2021.

Mengulas mengenai kejohanan AFC B19 di Uzbekistan, Kamarul Ariffin memaklumkan pihaknya kini masih belum menerima surat rasmi mengenai pembatalan kejohanan terbabit.

“Kami masih menunggu surat rasmi, selain mengharapkan kemungkinan akan ada cara lain agar kejohanan diadakan,” tegasnya.

Pada kejohanan berkenaan Malaysia berada Kumpulan D kejohanan itu dengan bekas juara 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yemen di Stadium AGMK, Olmalik.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: