
JURULATIH berpengalaman yang sering menjadi penyelamat beberapa pasukan, Mat Zan Mat Aris mengakui berdepan cabaran besar untuk membentuk barisan pemain yang lebih mantap selepas dia kini memegang status selaku pengendali kelab bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM FC).
Pernah membantu menyelamatkan beberapa pasukan dari tersingkir ke Liga Premier selain meraih gelaran kejuaraan, pengendali berusia 62 tahun ini sekali lagi menggalas tanggungjawab bagi memastikan The Cops sekurang-kurangnya kekal dan tidak tersingkir ke Liga Bola Sepak Amatur (M-3) 2022.
“Saya sukakan cabaran ini kerana pernah berdepan dengan situasi seumpama ini bersama beberapa pasukan sebelum ini,” ujarnya dipetik berkata kepada Bernama.
Mengikat kontrak selama dua tahun dan akan memulakan tugas secara rasmi bersama PDRM FC minggu depan, pengendali yang pernah membantu Terengganu menjulang kejuaraan berganda Piala Malaysia dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2001 tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain sedia ada sekiranya mereka dapat mempamerkan prestasi cemerlang.
“Saya mungkin akan menggabungkan sebahagian muka-muka lama dengan pemain baharu bagi memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Premier pada musim depan,” tegasnya.
Untuk rekod antara kejayaan yang pernah dikecapi Mat Zan selaku jurulatih ialah membantu Kuala Lumpur muncul juara Piala FA pada 1999 dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 2000, selain membimbing Melaka muncul juara Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2015 dan juara Liga Premier pada 2016.






Add Comment