Bola Sepak Semasa Terkini

Cheng Hoe tagih kerjasama kelab lepaskan pemain negara

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengharapkan kerjasama semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk melepaskan pemain masing-masing yang bakal dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan dari 15 hingga 26 Jan depan.

Pengendali berusia 52 tahun itu menyedari cabaran dalam mengumpulkan pemain dikehendaki apabila perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada kelab diwakili pemain itu, namun katanya semua pihak perlu memahami agenda bola sepak kebangsaan ketika ini.

Menjelang dua aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac depan, kem latihan pusat amat penting dalam merencanakan strategi permainan berpasukan selepas lebih setahun tidak beraksi bersama.

“Saya memang harap kelab melepaskan pemain untuk latihan pusat skuad kebangsaan kerana bukan tujuan untuk saya sendiri, ini untuk skuad kebangsaan jadi kami memang harapkan ihsan jurulatih kelab dapat benarkan pemain sertai latihan dalam lebih kurang 10 hari sahaja.

“Saya faham banyak pasukan sedang menjalani latihan pramusim jadi latihan banyak pasukan mungkin terganggu, tetapi disebabkan ini mengenai agenda bola sepak kebangsaan jadi terpaksa kami harap jurulatih dan pengurusan dapat lepaskan pemain,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengakui ada berhubung dengan beberapa jurulatih kelab tempatan dan berbincang mengenai pelepasan pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya bakal mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 sebelum penularan pandemik COVID-19 menjejaskan keseluruhan perancangan tahun 2020 skuad kendaliannya di pentas antarabangsa.

Dengan Malaysia kini berada di kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah menempah slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Cheng Hoe mengakui tidak sabar untuk kembali bekerjasama bersama barisan pemainnya dalam menjayakan misi itu.

“Sudah sekian lama kita tidak berlatih dan berkumpul bersama jadi kita ambil peluang ini dengan baik walaupun kita tahu ia agak terlewat tetapi lebih baik daripada kita tidak memulakan apa-apa. Saya memang teruja untuk kem latihan pusat kali ini,” katanya.

Malaysia kini berada dalam kedudukan selesa di tempat kedua Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand ketiga dengan lapan mata.

Sebelum ini, isu pelepasan pemain sering menimpa skuad kebangsaan dalam persiapan menghadapi sesebuah kejohanan, apabila terdapat sesetengah kelab enggan melepaskan pemain sekali gus memberi kesan negatif kepada persediaan dan perancangan ketua jurulatih.                -Bernama–


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: