Bola Sepak Semasa Terkini

FUFC dan UKM FC sah tidak sertai Liga M 2021


FELDA United FC dan UKM FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak rayuan yang dikemukakan kedua-dua pasukan berkenaan, sebelum ini.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM memutuskan menolak dokumentasi kewangan diserahkan kepada badan induk itu selepas mendapati dokumen tersebut tidak kukuh bagi membuktikan kedua-dua pasukan mampu bertahan bagi tempoh satu musim.

Beliau, bagaimanapun, berkata kedua-dua pasukan berkenaan masih berpeluang menyertai saingan Liga M3 pada musim 2021, namun terpulang kepada pengurusan pasukan masing-masing.

“Ini bermakna, hanya 11 pasukan akan menyertai Liga Premier musim hadapan (termasuk skuad projek FAM-MSN yang bakal dibentuk), dan tiada perubahan dari segi keputusan kedua-dua pasukan itu,” katanya.

FAM sebelum ini memutuskan untuk tidak membenarkan kedua-dua pasukan berkenaan menyertai saingan Liga-M 2021 setelah gagal memenuhi syarat penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Keputusan itu diambil badan induk tersebut setelah mendapati kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung perbelanjaan kedua-dua pasukan berkenaan tidak kukuh untuk bertahan bagi satu musim.

Dalam pada itu, Stuart menegaskan keputusan penyertaan pasukan Liga-M pada musim hadapan masih tertakluk kepada beberapa perkara termasuk penyelesaian bayaran gaji tertunggak dari 30 Jun sehingga akhir November lepas, yang perlu dimasukkan ke dalam dokumen akuan bersumpah (SD) berakhir semalam.

Beliau menjelaskan FIB Pelesenan FAM akan menilai kesemua dokumen SD yang diserahkan kepada kesemua 21 pasukan sebelum membuat keputusan lanjut sama ada sesebuah pasukan tersebut layak atau tidak untuk beraksi dalam saingan Liga-M 2021.

“30 Jun lepas merupakan tarikh tutup penyerahan dokumentasi kewangan setiap pasukan, dan sekiranya ada pasukan masih berhutang selepas tarikh berkenaan, FAM akan menggunakan SD bagi memastikan kesemua pasukan terlibat menjelaskan kesemua hutang yang masih ada,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: