Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Harimau Malaya bakal jalani kem latihan bulan depan


PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan memanggil sekurang-kurangnya 30 pemain menjalani kem latihan skuad kebangsaan pada 15 hingga 26 Januari 2021 sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, penstrukturan pemain yang bakal dipanggil sedang dilakukan Cheng Hoe dan akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Kem latihan yang dijadualkan pada 15 hingga 26 Januari tahun depan akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 28 hingga 32 pemain bagi membolehkan Cheng Hoe menilai kemampuan pemain terbabit.

“Saya percaya Cheng Hoe tidak akan memanggil skuad penuh memandangkan kem ini akan melibatkan beberapa pemain baharu dan menilai sejauhmana kesesuaian pemain tersebut,” jelasnya ditemui media selepas Mesyuarat Rakan Kongsi  Liga ke-4 MFL di Putrajaya, hari ini.

Stuart turut memaklumkan, Januari merupakan tempoh masa yang amat penting buat Harimau Malaya menjalani latihan tanpa sebarang perlawanan persahabatan.

“Bulan Januari amat penting untuk kita sesuaikan pemain lama dan baharu serta sekurang-kurangnya perlu ada satu perlawanan persahabatan.

“Malangnya selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan-pasukan kebangsaan negara lain kekangan pandemik Covid 19 nyata membataskan harapan untuk mengadakan perlawanan persahabatan Januari nanti.

“Tiada perlawanan persahabatan tetapi kem latihan skuad kebangsaan tetap berjalan pada Mac nanti dan selepas itu skuad kebangsaan akan diumumkan serta menyertai perlawanan persahabatan di Bahrain sebelum menentang  Emiriah Arab Bersatu (UAE),” tegasnya.

Kali terakhir anak-anak buah Cheng Hoe menghadapi aksi antarabangsa adalah pada November tahun lalu yang menyaksikan Harimau Malaya menewaskan Thailand 2-0 dan Indonesia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua kemenangan berharga itu menyaksikan Malaysia berada di tangga kedua Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dengan kutipan sembilan mata manakala pendahulu, Vietnam mengumpul 11 mata.

Kempen kelayakan itu dijadualkan kembali bersambung pada Mac tahun depan yang mana Malaysia bakal mengharungi tiga baki perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: