Bola Sepak Terkini

Aktiviti sukan bakal dibenarkan awal tahun depan


Reezal Merican menerima jersi Harimau Malaya baharu dari Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

BERITA baik buat pengiat sukan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi bayangan positif aktiviti sukan bakal dijalankan semula awal tahun depan termasuk membabitkan kehadiran penyokong untuk bola sepak.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan mereka tidak boleh ‘menekan’ butang berhenti untuk aktiviti sukan dan perlu bersedia untuk hidup bersama COVID-19 berpandukan kepada norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, KBS sudah mengemukakan gelembung sukan yang baharu dan seperti yang akan diperkenalkan oleh Majlis Sukan Negara (MKN) nanti, ia akan turut mengambil kira industri sukan.

“Tetapi ia dengan SOP yang tertentu bagi membolehkan kita membawa semula rasa kebiasaan dan sedikit sebanyak memberi manfaat lebih baik kepada industri sukan yang terkesan ketika ini.

“Ia untuk semua jenis sukan selagi SOP dalam bentuk gelembung sukan dapat dipatuhi. Pada waktu ini, kita sudah kemukakan dan kita akan dapat saksikan aktiviti sukan kembali aktif bagi kalendar 2021.

“Kita masih ada sebulan dan saya pun diberikan petunjuk baik oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (Menteri Kanan Keselamatan). Kita akan cuba lihat untuk membuka sektor membabitkan kegiatan rakyat terutamanya sukan dan kejohanan seperti bola sepak.

“Saya fikir kita tidak boleh menghentikan segala-galanya tetapi kita perlu menggunakan model gelembung sukan yang baharu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)- Majlis Sukan Negara (MSN) di Wisma FAM, Kelana Jaya,  hari ini.

Sebelum itu, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi berita gembira di mana peminat bola sepak berkemungkinan besar akan kembali dibenarkan memasuki stadium untuk saingan musim baharu nanti.

Jelas Tunku Ismail yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ketika ini satu SOP sedang dirangka, namun jumlah penonton yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti stadium dengan hanya 10 peratus penyokong akan dibenarkan masuk.

“Berita gembira. SOP. Progress. Akan datang. Bola sepak akan kembali.

“Kali ini dengan penyokong. 10 peratus dari kapasiti stadium,” kata Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: