
PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan kejohanan Piala AFF 2020 yang sebelum ini dijadualkan berlangsung April dan November lalu akan diadakan Disember tahun depan.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menjelaskan keputusan itu diambil selepas mengambil kira kepentingan kesihatan semua pihak yang terbabit.
“Kami memantau perkembangan COVID-19, baik di dalam ASEAN mahupun di serata dunia, secara berterusan. Walaupun ada hasil yang menggembirakan dalam pembangunan vaksin, kami sedar bahawa segala proses pelaksanaan program vaksin di seluruh dunia termasuk ASEAN akan memakan masa.
“Memandangkan kesukaran penganjuran kejohanan dan banyak pihak yang terkesan, AFF percaya dengan mengambil pendekatan pragmatik dan membuat keputusan lebih awal membolehkan semua pihak terbabit dengan kejohanan itu menyusun semula perancangan mereka,” tegasnya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan menganjurkan kejohanan pada Disember tahun depan sebagai langkah yang paling sesuai memandangkan jadual pertandingan bola sepak peringkat antarabangsa dan domestik di seluruh dunia yang dijangka padat tahun depan.
“Tarikh baharu bermula pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022, akan memberikan peluang terbaik untuk kejohanan ini diadakan dalam format penuh dengan perlawanan di gelanggang sendiri dan tempat lawan di peringkat kumpulan dan kalah mati,” katanya.





Add Comment