
PENGENDALI Melaka United FC (MUFC) , Zainal Abidin Hassan terus kekal membimbing pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.
Namun, nasib berbeza menimpa pemain tengah dan juga bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim apabila digugurkan daripada kelab berkenaan berikutan keputusan Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) untuk mengekalkan hanya 40 peratus pemain daripada musim 2020 untuk beraksi musim depan.
Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, khidmat Zainal Abidin masih diperlukan untuk membawa pasukan yang dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC) musim depan untuk berada di landasan lebih baik.
Katanya pihak pengurusan memberi cabaran kepada pengendali berusia 59 tahun itu untuk meletakkan MUFC dalam kelompok pasukan teratas, sekali gus memperbaiki kedudukan musim ini.
“Pengendali itu bersetuju meneruskan tugas di Melaka dengan sasaran yang diletakkan pihak pengurusan,” katanya dipetik melalui kenyataan media yang di siarkan menerusi laman rasmi Facebook Melaka Soccer Association (MUSA).
Pada masa sama , Mohd Yusoff turut mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Saiful Mat Safri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Sdn Bhd manakala Akram Abdullah selaku pengurus pasukan seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat bersama Presiden MUSA Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan ahli lembaga pengarah, baru-baru ini.
Melaka United menamatkan saingan Liga Super 2020 pada kedudukan kesembilan selepas mengumpul 11 mata hasil daripada empat kemenangan, dua kali seri dan lima kekalahan.





Add Comment