PASUKAN bola sepak Selangor hari ini membuka lembaran baru apabila mula efektif bergelar Selangor FC, sebuah kelab bola sepak profesional yang sah diswastakan di bawah Red Giants FC Sdn Bhd.
Red Giants FC Sdn Bhd merupakan sebuah entiti yang menguruskan kelab ini secara profesional dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor.
“Melalui penswastaan ini, Beta melihat hala tuju entiti kelab bola sepak Selangor sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun, dan memandang ke hadapan. Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan dalam masa yang sama, kita dapat memberi fokus sepenuhnya kepada dua misi berbeza dalam satu masa, melalui SFC dan FAS.” jelas Tengku Amir Shah.
Penswastaan ini telah diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September 2020 yang lalu, namun, pemisahan entiti di antara Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hanyalah efektif bermula 1 Disember 2020 kini.
Dari sudut kepimpinan tertinggi organisasi, kedua-dua entiti ini kekal bernaung di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor selaku Pengerusi Kelab dan Presiden Persatuan.
Setiausaha Agung FA Selangor sebelum ini iaitu Dr Johan Kamal Hamidon, kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Selangor FC selepas pasukan bola sepak Selangor diswastakan bermula hari ini.
Seorang lagi watak penting dalam pembangunan bola sepak Selangor, Muhammad Izrin Nabil, yang sebelum ini memegang portfolio Ketua Unit Pertandingan FA Selangor pula telah dilantik bagi mengambil alih tugas Setiausaha Agung FA Selangor.
Beliau berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga-liga di bawah FA Selangor, disamping peranan mengangkat liga amatur seperti Selangor Champions League ke satu tahap yang baru.
Pemilik Selangor FC, Tengku Amir Shah turut menzahirkan sokongan beliau kepada kedua-dua individu ini untuk membawa bola sepak Selangor ke tahap seterusnya.
“Beta cukup mengenali Johan (Dr. Johan) dan Nabil (Izrin Nabil) kerana telah bekerjasama dengan beta sejak dahulu lagi. Mereka merupakan individu yang komited dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sejak lima tahun yang lalu,” kata Tengku Amir.
“Beta berharap agar rakyat Selangor dan penyokong pasukan Gergasi Merah, boleh memberikan kepercayaan dan kerjasama kepada dua individu ini dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor,” tambah baginda.





Add Comment