Bola Sepak Semasa Terkini

TCH kekal sehingga 2022

Cheng Hoe bakal menyambung kontraknya membimbing Harimau Malaya sehingga 2022.

Seperti dijangka ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe, kekal sebagai pengendali skuad Harimau Malaya dalam menjayakan misi Malaysia meraih slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Cheng Hoe mengesahkan perkembangan itu selepas dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai lanjutan kontrak selama dua tahun, susulan kontraknya yang akan tamat pada 31 Dis ini.

Ia sekali gus menyaksikan jurulatih berusia 52 tahun itu akan terus menggalas tanggungjawab itu sehingga penghujung 2022, menjelang baki tiga aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bermula Mac tahun hadapan.

Difahamkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak itu berlangsung sejak beberapa bulan lalu, sebelum FAM memuktamadkan keputusan itu berdasarkan perubahan positif dibawa Cheng Hoe dalam pasukan, termasuk memberi nafas baharu dalam corak permainan skuad negara.

“FAM sudah setuju untuk menyambung kontrak bagi tempoh dua tahun lagi. Saya menganggap ini sebagai satu cabaran untuk saya dalam membawa pasukan kebangsaan, ke satu tahap lebih baik,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu yang kini berada di Pulau Pinang berkata, beliau menerima surat tawaran lanjutan kontrak itu dan akan berjumpa barisan kepimpinan tertinggi FAM, sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata walaupun 2020 menjadi tahun yang membantutkan perkembangan prestasi positif pasukan kebangsaan, tetapi FAM masih mempunyai rancangan lebih besar dan Cheng Hoe adalah individu terpenting dalam menjayakan usaha itu.

Stuart berkata FAM yakin keputusan itu akan memberi kesinambungan kepada pasukan, untuk mengharungi baki beberapa perlawanan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia pada tahun depan dan 2022.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: