Badminton Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

Kembali semarakkan bola sepak Malaysia

JDT dinobatkan juara Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut. (Foto : FB Johor Southern Tigers)

By Mohd Fariq

SEDAR tak sedar, tahun 2020 semakin hampir untuk melabuhkan tirainya dengan berbaki 44 hari lagi.

Mengimbau kembali perjalanan tahun 2020, penulis percaya bahawa tiada apa perkara molek untuk dibincangkan.

Terutama jika kita mahu bercakap tentang bola sepak, mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa tahun 2020 dalam detik paling tersukar buat bola sepak tempatan selepas insiden perang dunia kedua pada tahun 1942.

Kira-kira 78 tahun yang lalu, kita dikhabarkan bahawa kejohanan TM Piala Malaysia yang ketika itu dikenali Piala HMS Malaya terpaksa dibatalkan ekoran perang dunia kedua bermula 1942 sehingga 1947.

Bagaikan deja vu masa silam, penyokong-penyokong bola sepak tempatan sekali lagi terpaksa akur dengan ketiadaan kejohanan TM Piala Malaysia gara-gara pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

Rasa tidak percaya sebenarnya masih menebal di dalam fikiran penulis jika diingatkan kembali perjalanan kalendar Liga Malaysia musim ini.

Masakan tidak, saingan CIMB Liga Super dan Liga Premier masing-masing hanya bermain separuh jalan sahaja iaitu 11 perlawanan sementara Piala FA, TM Piala Malaysia dan Piala Cabaran tidak dapat diteruskan kerana pandemik Covid-19.

Terbaharu, kita telah menyaksikan majoriti penyokong bola sepak tempatan benar-benar kecewa di sebalik keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak meluluskan rayuan Malaysian Football League (MFL) untuk meneruskan kempen TM Piala Malaysia 2020.

Maklumlah rata-rata peminat sukan nombor negara ini menaruh penuh harapan cukup tinggi terhadap pihak kerajaan untuk membenarkan kejohanan itu kekal berjalan selepas MFL mengemukakan rayuan dan pertimbangan semula dari MKN bagi meneruskan pertandingan ini.

Bagi penulis, pujian besar harus diberikan kepada MFL yang sentiasa berusaha keras untuk memastikan industri bola sepak tempatan terus bernyawa sebagaimbbana mereka masih berjuang di saat-saat akhir untuk merayu kepada MKN yang sebelum ini memberikan saranan supaya menunda kejohanan domestik dalam tempoh pandemik Covid-19.

Benarlah kata pepatah, malang itu memang tidak berbau.

Ini kerana jika diikutkan logik, tiada sebab kuat untuk membatalkan TM Piala Malaysia 2020 kerana tiada sebarang kluster berlaku dalam industri bola sepak tempatan sejak Liga Malaysia dibenarkan bermain sejak Ogos lalu.

Malah, MFL sentiasa mengingatkan dan memastikan setiap pasukan mematuhi arahan dan Standard Prosedur Operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

TMJ menegaskan keputusan tidak membenarkan pasukannya menyertai ACL di Doha, Qatar bermula 18 November hingga 13 Disember cukup berat untuk ditelan. (Foto : FB Johor Southern Tigers)

Bukan itu sahaja kita semua khusus penyokong bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dapat sembunyikan reaksi kecewa apabila skuad Harimau Selatan terpaksa menarik diri daripada kempen ACL disebabkan dasar negara tidak membenarkan keluar masuk di peringkat antarabangsa gara-gara pandemik Covid-19.

Malah, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan keputusan tidak membenarkan pasukannya menyertai ACL di Doha, Qatar bermula 18 November hingga 13 Disember cukup berat untuk ditelan.

Namun Tunku Ismail menyedari keputusan untuk tidak mahu mengambil risiko ketika Malaysia dan negara di seluruh dunia masih lagi berdepan pandemik Covid-19 yang masih menular adalah langkah cukup terbaik buat masa ini.

“Saya yakin kerajaan melakukannya yang terbaik demi kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia termasuk keluarga-keluarga semua pihak terbabit.

“Ini kerana kes-kes Covid-19 semakin meningkat dan situasi ini akan menjejaskan kelangsungan hidup jika berterusan,” titah Tunku Ismail dalam laman sosial JST.

Jadi kesimpulan ringkas, kita hanya dapat menikmati sedikit sahaja nikmat daripada bola sepak ketika menyaksikan CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja sementara kejohanan lain termasuk tiada sebarang perlawanan pasukan Harimau Malaya dalam tempoh pandemik Covid-19.

Penulis yakin bahawa kita semua cukup merindui nyanyian Ultras Malaya yang sentiasa memecah kesunyian di Stadium Nasional di Bukit Jalil di mana di sini kita dapat saksikan bagaimana semua kaum tanpa mengira umur and juga parti politik atau apa sahaja bersatu hati jiwa untuk pasukan kebangsaan yang menjadikan kenapa bola sepak adalah nadi utama penyatuan rakyat Malaysia.

Namun keputusan pihak kerajaan muktamad dan apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah fokus kepada perancangan pada tahun hadapan di mana mungkin ini juga boleh dijadikan petanda kepada pihak kerajaan bahawa industri bola sepak tempatan cukup penting untuk menjana ekonomi negara.

Hamidin melalui zaman cukup getir jika dibandingkan presiden-presiden terdahulu dalam misi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Penulis juga ingin mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa simpati terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Ini kerana kita harus akui Hamidin melalui zaman cukup getir jika dibandingkan presiden-presiden terdahulu dalam misi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Namun tokoh bola sepak tempatan yang menjadi faktor utama kemasukan semula Telekom Malaysia (TM) menjadi penaja Liga Malaysia, sentiasa berhempas pulas untuk memastikan bola sepak berada dalam perancangan betul pada masa akan datang.

Sekali lagi penulis ingin melahirkan rasa kagum terhadap kepimpinan Hamidin yang terus utuh di sebalik kekangan yang berlaku dalam negara pada tahun ini.

Usaha Vincent Tan yang terus mempromosi bakat Luqman Hakim di pentas antarabangsa seharusnya dicontohi.

Apa yang mengubat sedikit kekecewaan penyokong menyaksikan Luqman Hakim Shamsudin kini mula mengorak langkah di bumi Eropah selepas KV Kortrijk (KVK) di mana anak muda Kelantan itu telah diberikan kepercayaan daripada pemilik KVK, Tan Sri Vincent Tan untuk bermain bersama kelab Belgium itu.

Usaha Vincent Tan yang terus mempromosi bakat anak tempatan di pentas antarabangsa seharusnya dicontohi selain kita juga berbangga menyaksikan Safawi Rasid menyertai kelab Portugal, Portimonense SC.

Malaysia juga berbangga menyaksikan Safawi Rasid menyertai kelab Portugal, Portimonense SC.

Akhir kata daripada penulis, kita telah ‘tewas’ teruk kepada pandemik pada tahun ini dan kita semua harus bangkit untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin berlarutan dalam misi memastikan bola sepak tempatan kembali bernyawa.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: