Basikal Semasa Terkini

LTdL 2021 dibatalkan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Abu Samah percaya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak.

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) dibatalkan dan akan dianjurkan semula pada 2022.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab percaya keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 dan menganjurkannya pada 2022 adalah satu tindakan pragmatik yang bersesuaian dengan keadaan pandemik COVID-19 yang melanda dunia kini.

“Ada banyak perkara yang mesti difikirkan oleh semua pihak termasuk PKBM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya percaya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah menjelaskan PKBM selaku pemegang hak penganjuran LTdL akan memberi penjelasan terperinci kepada UCI dengan kadar segera bagi memudahkan pasukan yang telah menerima jemputan untuk membuat tindakan susulan.

Keputusan untuk membatalkan perlumbaan berbasikal paling elit di benua Asia itu dicapai secara sebulat suara ketika mesyuarat khas melibatkan beberapa pihak termasuk KBS, pada Isnin.

“Keputusan ini dicapai memandangkan kesuntukan masa untuk semua pihak melakukan persiapan rapi ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini. Apatah lagi keputusan untuk membatalkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor juga telah dibuat.

“Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak,” katanya.

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: