Bola Sepak Semasa Terkini

“Impian semua pasukan kalahkan JDT”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aidil mengharapkan aksi konsisten dipamerkan anak didiknya musim ini akan diteruskan pada musim akan datang.

“IMPIAN semua pasukan mengalahkan juara bertahan,” itulah reaksi pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengenai persiapan pasukannya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT)  pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia 2021 (Liga-M), merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, 26 Februari tahun depan.

Jelas Aidil, pertembungan buat kali keempat antara dua gergasi bola sepak tempatan itu diharap mampu memihak kepada Kedah selepas kali terakhir mereka menjuarai saingan itu pada tahun 2017 selepas menewaskan lawan sama menerusi penentuan penalti.

Meskipun masih terlalu awal meletakkan harapan tinggi kepada perlawanan itu nanti, tetapi beliau tidak menafikan sudah menjadi impian setiap pasukan untuk cuba menewaskan pasukan hebat seperti JDT dan bakal bertembung sekali lagi pada tahun hadapan dalam saingan tersebut memberi seribu satu harapan buat Aidil dan pasukan untuk bersedia dengan lebih baik.

“Macam kita tahu, musim ini memang agak lewat sedikit untuk kita habiskan Liga Malaysia, tetapi dengan kalendar yang sudah keluar awal ketika ini, kita sudah boleh membayangkan sasaran awal khususnya dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

“Saya rasa memang impian semua pasukan untuk tewaskan JDT, mereka pun sudah tiga kali memenangi trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya rasa sudah tiba masa untuk kita cuba menyaingi JDT.

“Tetapi macam mana pun, bukan kita hanya ingin fokus satu perlawanan itu sahaja, kerana apa yang penting adalah konsistensi selepas perlawanan tersebut untuk Kedah cuba bertahan di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2021”, jelasnya.

Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat kali ke-23 baru-baru ini memutuskan Kedah akan mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai status naib juara CIMB Liga Super 2020 selepas tiada pemenang Piala FA dan TM Piala Malaysia di mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Ketika ini, Aidil mahu barisan pemain mengambil peluang merehatkan fizikal dan minda secukupnya sebelum diberikan tugas untuk mempersiapkan diri daripada aspek kecergasan terlebih dahulu.

“Liga Malaysia 2020 sudah habis, jadi saya mahu pemain-pemain yang ada untuk meneruskan musim 2021 berehatlah sepuas-puasnya dahulu sebelum kita bagi program untuk latihan kecergasan pula.

“Bagusnya kita sudah tahu lebih awal kalendar musim 2021, dan kita boleh menyediakan segala program dengan lebih tersusun untuk mereka ikut segala jadual yang akan disediakan oleh jurulatih kecergasan kita,” jelasnya.

Secara tradisinya, pemenang Liga Super akan bertemu dengan pemenang Piala FA dalam pertandingan Piala Sumbangsih yang merupakan pembuka tirai untuk saingan Liga-M.

MFL mengeluarkan kalendar Liga-M 2021 hari ini yang menyaksikan JDT akan bertemu Kedah dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada 26 Feb, diikuti Liga Super dan Liga Premier, masing-masing bermula pada 27 dan 28 Feb.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: