
ISU tuntutan lot tanah bekas pemain The Red Giants yang berjaya menjulang Piala Malaysia 1995 mendapat maklum balas kerajaan negeri Selangor.
Memetik sebuah laporan portal, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sedang mencari jalan terbaik bagi menunaikan tuntutan ganjaran berkenaan walaupun agak sukar menunaikannya.
Tambah Amirudin lagi, ia membabitkan kawasan yang luas serta kira-kira 30 individu terdiri daripada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.
“Kita akan lihat kembali data serta maklumat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sama ada pemberian tanah itu pernah diluluskan. Jika diluluskan, perlu dilihat di mana lokasi (sebenar) tanah itu,” katanya
diminta mengulas tuntutan bekas pemain dan pegawai pasukan Selangor yang masih belum menerima ganjaran seperti dijanjikan selepas menjuarai Piala Malaysia 1995.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan E-Bazar Deepavali dan Program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) Yayasan Hijrah Selangor semalam.
Cakap Sukan semalam melaporkan pemberian tanah itu dijanjikan oleh menteri besar pada ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Difahamkan, satu pertemuan akan diadakan dengan pihak yang terlibat bagi membincangkan perkara itu agar satu penyelesaian dapat dicapai walaupun ganjaran dijanjikan itu dibuat oleh pentadbiran negeri dahulu.





Add Comment