Bola Sepak Terkini

‘Jangan lupa bayar gaji pemain’


BERIKUTAN pengumuman yang dibuat oleh pihak Malaysian Football League (MFL) berhubung pembatalan baki saingan Piala Malaysia, dengan perasaan yang berat, PFA Malaysia menyambut pengumuman ini dengan penuh hormat dan hati yang terbuka.

PFA Malaysia sedia maklum bahawa keputusan ini dibuat setelah pihak MFL mengambil kira pelbagai aspek secara terperinci demi mengelakkan permasalahan yang lebih besar berlaku di masa hadapan.

“Sepertimana yang dimaklumkan dalam kenyataan MFL, sememangnya menjadi kerisauan besar daripada PFAM sekiranya saingan Piala Malaysia ditundakan lagi ke bulan Disember 2020.

“Hal ini memandangkan kontrak pemain yang berakhir pada 30 November 2020, dan perkara ini akan menimbulkan situasi yang rumit, yang tentu sekali akan mempengaruhi kedudukan hak dan kebajikan para pemain.

“Oleh hal yang demikian, meskipun PFAM memahami denyut nadi dan keinginan yang sangat tinggi dalam kalangan para pemain untuk merebut kejuaraan Piala Malaysia, tetapi PFAM melihat betapa keputusan MFL ini adalah sebuah langkah yang munasabah demi menjaga kepentingan semua pihak,” kaya kenyataan rasmi PFAM malam tadi.

Justeru itu, PFAM ingin menyeru agar setiap pasukan dapat menunaikan tanggungjawab untuk membuat bayaran gaji kepada para pemain sepertimana yang termaktub di dalam kontrak, walaupun saingan telah dibatalkan.

“Bagi pasukan yang masih mempunyai tunggakan gaji, sekali lagi PFAM menyeru agar tunggakan tersebut dapat diselesaikan dalam kadar yang segera, sebelum bermulanya saingan musim 2021.

“PFAM ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan MFL yang diterajui oleh YH Dato Haji Hamidin, dan sememangnya keputusan yang dibuat ini bukanlah satu keputusan yang popular, tetapi ia merupakan satu keputusan yang perlu dibuat,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, PFAM mengharapkan agar saingan bola sepak Malaysia ‘Norma Baharu’ dapat dijalankan pada musim hadapan mengikut perancangan yang direncanakan dan jadikanlah apa yang berlaku pada musim ini sebagai proses pembelajaran untuk semua pihak bagi menambahbaik ekosistem bolasepak tempatan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading