Bola Sepak Semasa Terkini

Pembatalan Piala Malaysia ditangisi pemain dan jurulatih

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)  membatalkan kejohanan Piala Malaysia 2020 nyata menimbulkan pelbagai reaksi buat pasukan yang kini memasuki saingan kelompok lapan terbaik bagi kejohanan bola sepak teragung di Malaysia dan antara kejohanan tertua di rantau Asia.

MFL selaku badan induk pengelola Liga Malaysia (Liga-M) mengambil keputusan tersebut adalah sejajar dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah menolak rayuan bagi meneruskan kejohanan itu pada semalam.

Juara Piala Malaysia 2018, Perak dilihat berada dilandasan sebenar memburu kejayaan pada musim ini.

 

Bagi Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, dia mengakui sedikit terkejut dengan keputusan itu tetapi dalam masa sama memahami kepentingan kesihatan awam perlu diutamakan dalam memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan.

“Piala Malaysia adalah kejohanan paling berprestiji di negara malah tertua di Asia Tenggara serta terlalu banyak sejarah yang kita boleh perkatakan.

“Seingat saya Piala Malaysia kali terakhir dihentikan pada 1947 dulu dan apabila dibatalkan pada tahun ini, rasanya memang sukar dipercayai serta diterima oleh semua warga bola sepak.

“Begitu juga dengan Perak, bukan mudah untuk melupakan Piala Malaysia pada musim ini selepas kami telah berjaya layak ke suku akhir tetapi kita semua perlu menerima keputusan tersebut.

“Apa pun kesihatan pemain serta pegawai perlu diutamakan dahulu dan kerajaan lebih tahu apa yang terjadi sebenarnya sehingga membuat keputusan ini,maka kita semua perlu sama-sama patuh dan ikuti arahan dikeluarkan, ” ujarnya yang berjaya membimbing Perak bergelar juara 2018.

Lee Tuck yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia.

Begitu juga nada yang disuarakan Ketua Pasukan Terengganu, Andrew Lee Tuck yang mengakui sudah meletakkan matlamat mahu mendapatkan satu trofi buat pasukannya pada musim ini.

Jelasnya, sebagai pemain, sudah tentu terkilan kerana kami telah melakukan persiapan yang cukup rapi tambahan saya rasa musim ini Terengganu FC mempunyai peluang untuk memenangi trofi Piala Malaysia.

“Saya yakin bukan sahaja pemain tetapi pengawai, peminat dan penaja juga berasa sedih dengan pembatalan Piala Malaysia kerana tidak menjangka situasi ini berlaku tetapi kita semua tiada pilihan untuk menerima keputusan dikeluarkan,” ujar pemain import berkenaan.

Selepas mendapat bye pada pusingan pertama, skuad Warga Kota bakal berdepan cabaran sebenar menentang juara bertahan JDT pada saingan suku akhir.

Kuala Lumpur pula yang mendapat bye pada pusingan pertama sebelum ini, memaklumkan persiapan pasukan menjelang aksi dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjalan lancar dan seakan tidak percaya dengan keputusan diumumkan MFL.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof, dia seakan tidak percaya selepas pasukannya sudah memberikan fokus terhadap pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir.

Selepas tiada lagi sebarang aksi bola sepak pada musim ini, Nidzam cuma mengharapkan segala-galanya akan kembali berjalan seperti biasa pada 2021 agar pertumbuhan liga tempatan tidak terbantut.

“ Sejak saya menjadi jurulatih sejak 2005, saya rasa ini adalah pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi.

“ Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton, ” katanya.

Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor juga tidak menyembunyikan perasaan kecewa jika dilihatkan antara pasukan pilihan beraksi dipentas final namun kepentingan keselamatan dan kebajikan semua pihak ketika ini adalah menjadi keutamaan.

Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Ab Rashid berkata, keputusan MFL juga adalah penting sebagai hala tuju semua pasukan untuk persiapan musim 2021.

“Secara jujurnya kami kecewa jika melihatkan momentum pasukan ketika ini yang menunjukkan peningkatan serta memiliki peluang untuk pergi lebih jauh. Pasukan akan lebih berusaha lebih keras musim depan

“Namun keputusan MKN adalah demi kepentingan keselamatan dan kebajikan semua pihak,” ujarnya.

Pertandingan tertua itu telah membuka tirai pada 6, 7 dan 8 November lalu di mana lapan pasukan telah layak ke suku akhir iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur, Pulau Pinang, UiTM FC, Kedah, Perak, Terengganu FC dan Selangor.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: