Bola Sepak Komentar Semasa

‘Buka mata dan hati wahai MKN’

 

Nukilan dari MOHD. FARIQ

HARI ini penyokong bola sepak tempatan telah dikejutkan dengan satu perkhabaran kurang enak daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Petang tadi Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan bahawa pihak kerajaan telah menyarankan Malaysian Football League (MFL) supaya menangguhkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 yang telah membuka tirai sejak 6 November lalu.

Daripada sisi MFL yang kini dilihat bagaikan tersepit, situasi itu jelas memberikan impak besar dari sudut penajaan di mana pengelola Liga Malaysia itu sendiri terpaksa menukar formula musim ini dengan hanya bermain satu pusingan sahaja liga di mana CIMB Liga Super dan Liga Premier masing-masing bermain 11 berbanding 22 perlawanan sebelum ini.

Namun mungkin tidak keterlaluan juga buat MFL dan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) harus membuat permohonan sekali lagi kepada MKN dan menjelaskan kepada pihak mereka betapa seriusnya MFL serta FAM menjaga setiap aspek bagi memastikan tiada kluster berlaku bola sepak.

Dari pengamatan penulis, kemungkinan besar mengapa keputusan drastik pihak kerajaan yang sebelum ini turut menyarankan Sukma Johor terpaksa ditunda ke Mac tahun depan, disebabkan peningkatan kes pesakit Covid-19 di seluruh negara.

Bagaimanapun jika diperhatikan bahawa sejak Liga Malaysia dibenarkan bermain sehingga pusingan kalah mati TM Piala Malaysia 2020 baru-baru, jujur cakap bahawa kesemua pasukan sebenarnya telah mengikuti Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Apa yang menghairan penyokong termasuk penulis sendiri, keputusan pihak kerajaan untuk tidak membenarkan kejohanan tertua di Asia Tenggara itu bagaikan tidak munasabah sebagaimana masih belum wujud kluster daripada Liga Malaysia itu sendiri.

Tambahan lagi berbaki tujuh perlawanan TM Piala Malaysia 2020, penulis percaya MFL mampu menggalas tanggungjawab dengan baik selaku penganjur bagi memastikan rantaian Covid-19 tidak akan berlaku sebagaimana mereka telah berjaya berbuat demikian sebelum ini.

Lebih mustahak, tiada sebarang kluster tercetus dalam kalangan pemain dan pegawai di mana kesemua wakil dari CIMB Liga Super dan Liga Premier telah diwajibkan menjalani ujian calitan (swab test) dan kuarantin kendiri sebelum pertandingan.

Setiap pasukan yang bertanding dilihat mematuhi dan mengikuti Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Pada pandangan peribadi penulis, MKN seharusnya mencari solusi yang lebih prihatin dan ampuh sebagaimana industri bola sepak tempatan juga harus dijaga seperti sektor-sektor lain.

Harus diingat, pasukan-pasukan yang sebelum ini telah kehilangan salah satu mata pencarian iaitu tiada penonton dibenarkan masuk ke stadium, bakal berdepan masalah untuk membayar gaji pemain di mana penulis dapat membayangkan lebih banyak penaja bertindak menarik diri jika kejohanan ini dibatalkan.

Adalah lebih afdal jika MKN mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak MFL bagi mencari mekanisme yang lebih positif.

Jika diikutkan, MFL masih lagi memiliki pilihan lain iaitu melakukan pertandingan tersebut secara karvinal di negara bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP) seperti di Perlis, Pahang atau Kelantan.

Tepuk dada, tanya selera. Bagi penulis, MFL telah melaksanakan tugas dengan baik bagi memastikan tiada sebarang kluster tercetus sepanjang penganjuran mereka dalam Liga Malaysia.

Dalam masa yang sama, tiada istilah ‘tunda’ buat TM Piala Malaysia 2020, berbeza dengan Sukma Johor kerana pemenang trofi tersebut akan meraih slot automatik Piala AFC 2021 dan sudah pasti pembatalan kejohanan ini akan terus mencetuskan polemik sesama pemegang taruh Liga Malaysia.

Di Eropah, pasukan bola sepak mereka masih dibenarkan bermain selaras tuntutan SOP. Malah, segelintir kecil kelompok penonton turut dibenarkan masuk ke stadium.

Mungkin tidak adil untuk membandingkan situasi itu di negara sendiri tetapi harapan penulis supaya MKN harus bersikap realistik di mana penulis yakin tiada risiko besar jika kejohanan TM Piala Malaysia 2020 diteruskan.

Akhir kata dari penulis, bukalah mata dan hatimu wahai MKN.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: