TIADA Sambutan Hari Sukan Negara (HSN 2020), itulah keputusan yang diambil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas mengambil kira situasi peningkatan jumlah kes COVID-19.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk membatalkan sambutan HSN 2020 merupakan langkah berjaga–jaga Kementerian untuk mengelakkan risiko penyebaran COVID-19 dalam kalangan masyarakat dan demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.
“Keputusan ini adalah selaras dengan kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan bertarikh 2 Oktober 2020 berkenaan penangguhan sambutan tersebut dengan mengambil kira situasi peningkatan jumlah kes COVID-19 pada awal bulan Oktober lalu.
“Semua penggiat sukan diingatkan untuk kekal sihat dan aktif serta sentiasa menjaga diri dan mengamalkan Garis Panduan Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sila patuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan yang berkuat kuasa,” ujarnya, hari ini.
Untuk rekod, sebelum ini pada 2 Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan kementerian mengambil keputusan untuk menangguhkan sambutan (HSN 2020) yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Oktober 2020 (Sabtu) ke satu tarikh bersesuaian yang akan diumumkan kemudian.
Add Comment