Bola Sepak Semasa Terkini

Tiada lagi aksi Felda United dan UKM FC musim depan

FAM mendapati kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu The Fighters tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021.
TIADA lagi kelibat Felda United dan UKM FC dalam saingan Liga Malaysia 2021 selepas mereka gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat berikutan kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan ini bagi saingan musim depan didapati tidak cukup kukuh.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, ekoran keputusan ini The Fighters dan Varsity Boys tidak layak untuk menyertai liga anjuran Malaysian Football League (MFL) bagi musim 2021, sama ada  Liga Super atau Liga Premier.
“Walaupun Felda United dan UKM telah pun menyelesaikan proses penswastaan, perkembangan negatif pada masa itu berkaitan sokongan korporat dan pendanaan kedua-dua pasukan muncul dan memaksa FAM untuk meminta penjelasan dan dokumentasi lebih lanjut.
“Dokumentasi daripada setiap pasukan dan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih pasukan Felda United dan UKM FC mengenai kedudukan semasa dan kewangan perlu diserahkan kepada FAM selewat-lewatnya pada 19 Oktober 2020.
“Bagi Felda United, biarpun mereka berjaya melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan telah pun diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan bahawa Felda United tidak akan menyertai CIMB Liga Super atau Liga Premier mulai musim 2021.
“Susulan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd telah mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati bahawa kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021,” ujarnya menerusi siaran media yang dikeluarkan sebentar tadi.
Kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh.
Stuart berkata, bagi UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM telah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.
“Pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd telah mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian dibuat ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan.
“FAM turut mendapati bahawa kedudukan kewangan Varsity Boys Sdn Bhd melalui pelabur baharu itu tidak cukup kukuh untuk mereka mengharungi satu musim penuh liga pada 2021,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Stuart turut memaklumkan FAM telah mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kepada kedua-dua pasukan ini mendapatkan pelabur yang baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai pasukan dapat dijamin.
“FAM membuat keputusan ini bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim,” katanya.
Terdahulu setelah proses penswastaan FC bersyarikat berakhir pada 30 September 2020, FAM pada 5 Oktober 2020 mengumumkan status proses penswastaan FC bersyarikat kesemua 21 pasukan termasuk Felda United dan UKM FC.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: