Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

‘Revolusi Kelantan FC air tangan ZamSaham’

 

Prestasi Kelantan FC semakin menunjukkan peningkatan selepas ZamSaham mengambil alih pasukan.

Mohd. Fariq Rahman

SIAPA sangka Kelantan FC kembali bernafas selepas usahawan tempatan, Norizam Tukiman secara rasmi menjadi pemilik pasukan berpangkalan di Pantai Timur itu pada awal September lalu.

Sebelum kehadiran Norizam yang lebih mesra disapa ‘ZamSaham’, ramai membayangkan Kelantan FC bakal ‘bungkus’ selepas terpalit dengan masalah kewangan yang menyaksikan kelab itu berdepan isu tunggakan gaji.

Namun, kesungguhan ZamSaham jelas memberikan signal positif apabila beliau tidak mengambil masa lama untuk memulihkan kembali reputasi juara trebel 2012 itu dengan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pada bulan lalu.

Turut mendapatkan nasihat dari Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mengambil alih Kelantan FC.

Sejak transformasi pertukaran pemilik daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menjadi milik sepenuhnya selepas melabur RM6.8 juta untuk memiliki sepenuhnya saham dalam Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd, prestasi positif Kelantan FC kembali menjelma dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Kelantan FC yang sebelum ini berdepan pelbagai konflik akhirnya berjaya menduduki tangga keempat Liga Premier dengan meraih 18 mata sepanjang 11 perlawanan selain turut layak bermain dalam TM Piala Malaysia 2020.

Sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pengendali Kelantan FC, Yusri Che Lah dalam merangka strategi pasukan.

Penulis sempat mengadakan sesi temuramah bersama usahawan kelahiran Johor ini dan jelas minat serta keghairahan tentang bola sepak tempatan terpancar di wajahnya.

Dalam sesi temuramah yang berlangsung tiga jam itu, ZamSaham telah berkongsi serba sedikit pengalamannya terjun ke dunia bola sepak yang jelas cukup berbeza berbanding bidang yang diceburinya sebelum ini.

Dedah ZamSaham, kehidupannya telah berubah 180 darjah sejak memasuki dunia bola sepak tempatan di mana Kelantan FC sentiasa bermain dalam benak fikirannya siang dan malam.

Kata lagi ZahSaham, ada segelintir pihak yang tidak menyenangi tindakannya membeli Kelantan FC tetapi beliau berminat untuk membuktikan sebaliknya kepada pengkritik.

“Itu sudah lumrah tetapi saya melihat kepada sudut yang lebih positif. Niat saya adalah satu iaitu mahu mengembalikan kembali kegemilangan Kelantan FC dalam saingan Liga Malaysia,” katanya kepada CakapSukan.

Semangat ZamSaham yang sebelum ini pernah bertemu dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semakin membara terutama beliau telah mengesahkan Kelantan FC bakal menikmati pusat latihan dan padang sendiri yang kini sedang diusahakan.

Barisan pemain dan pengurusan Kelantan FC menikmati percutian di The Taaras Beach & Spa Resorts Pulau Redang Terengganu sebagai persiapan awal mereka menghadapi TM Piala Malaysia 2020.

 

Penulis juga kagum dengan pendekatan segar yang dibawa oleh ZamSaham apabila beliau telah membawa skuad Kelantan FC menikmati percutian di The Taaras Beach & Spa Resorts Pulau Redang Terengganu sebagai persiapan awal mereka menghadapi TM Piala Malaysia 2020.

Percutian itu juga membuka mata ramai pihak bahawa ZamSaham telah bersedia untuk memberikan anjakan kepada bola sepak Kelantan dan kelibatnya kini mula disenangi dalam kalangan peminat, pemain dan jurulatih.

Mungkin bukan kejutan bagi penulis jika Kelantan FC menjadi juara TM Piala Malaysia 2020 selepas menyaksikan keserasian dan persefahaman mereka berada di tahap lebih menyakinkan selepas menyaksikan semangat berpasukan sepanjang menjalani persiapan di The Taaras Beach & Spa Resorts.

Apa yang membuatkan penulis lagi kagum adalah sosok usahawan berjaya ini tidak kenal erti malu untuk terus belajar pengurusan bola sepak melalui pelbagai cara dalam usaha memastikan kelabnya berada dalam landasan tepat.

Malah, penulis juga dikhabarkan bahawa ZamSaham akan mendapat suntikan tajaan daripada salah sebuah syarikat terkemuka Malaysia secata terus daripada pemilik syarikat tesebut yang amat kagum dengan semangat beliau.

Kata orang, sokongan keluarga sangat penting dan keluarga ZamSaham telah merestui serta memahami bahawa dunia bola sepak adalah masa beliau buat masa kini.

Namun ZamSaham menegaskan beliau masih fokus kepada perniagaan lain seperti makanan dan perhotelan selain aktivitinya bersama Kelantan FC.

Harapan penulis adalah tiada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ketika Kelantan FC kembali berdiri dengan reputasi sebenar selepas ZamSaham melakukan revolusi dalam struktur pentadbiran kelab itu.

Penulis juga ingin menasihatkan kepada ZamSaham bahawa sentiasa berusaha keras dan percaya bahawa beliau adalah individu tepat mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan pada masa akan datang.

(Nota: Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun)

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: