Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

“Terima kasih JDT”

Figueroa menikmati penuh kenangan manis dan amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena namanya.

SELEPAS menabur khidmat selaku pemain hampir empat tahun dan dua tahun bergelar pengurus pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa akhirnya mengumumkan meninggalkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut untuk bersama keluarga di negara kelahirannya, Argentina.

Mula menyertai Harimau Selatan pada 2014 dan meledak 23 gol hasil 36 penampilan bersama JDT, Figueroa mengucapkan terima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh berada di JDT.

“Dengan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa sayangnya masa saya di Johor telah berakhir disebabkan perlu kembali ke Argentina kerana komitmen keluarga. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Mahkota Johor, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim serta para penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.

Figueroa percaya Benjamin Mora merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir.

“Saya pergi dengan penuh kenangan manis dan saya amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya. Ia sebuah perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalin banyak hubungan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga.

“Saya percaya Benjamin Mora, yang merupakan sebahagian kunci utama kejayaan JDT dalam pelbagai cara di belakang tabir, Pengarah Teknikal, Pengarah Sukan dan tentu sekali DYAM Tunku Mahkota Johor akan terus membawa kejayaan kepada kelab. Selamat maju jaya buat JDT dan semoga kita akan bersatu semula pada masa akan datang,” ujarnya melalui laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers sebentar tadi.

Untuk rekod, bekas pemain kebangsaan Argentina itu memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2015 sebelum disusuli kejayaan terbesar pada musim 2015 apabila JDT membawa pulang Piala AFC.

Pada musim 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih dan pada bulan Ogos tahun yang sama beliau dilantik sebagai pengurus pasukan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: