Bola Sepak Semasa Terkini

KAKB sedia miliki saham Darulaman FC

Ahmad Shaizuan yakin KFA meneliti cadangan dan syor yang dikemukakan KAKB.

 

KOPERASI Anak Kedah Berhad (KAKB) telah mengemukakan syor dan perancangan bagi memiliki saham majoriti dalam Darulaman FC kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)

Merupakan sebuah entiti koperasi berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, KAKB telah menemui pelbagai pihak , pemegang taruh dalam industri bolasepak Malaysia dan Kedah bagi menjelaskan idea dan perancangan memperkenalkan konsep Pemilikan Penyokong (“Fan Based Club”).

Penasihat KAKB, Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman berkata, sejak Julai 2020, KAKB telah secara jelas menyatakan hasrat menghimpunkan penyokong penyokong Hijau Kuning bagi memiliki saham majoriti dalam Darulaman FC.

“KAKB juga turut berbincang secara bersemuka dengan KFA sebanyak empat kali yang merupakan pemegang saham tunggal Darulaman FC. Ia bertujuan mengemukakan syor kami terutamanya tentang soal perancangan kewangan masa depan dan isu tunggakan hutang pemain-pemain.

“Konsep ini bukan lagi asing di luar negara dan telah menyaksikan kejayaan banyak kelab kelab ternama dari sudut memperkukuh kewangan dan mutu permainan. Contohnya FC Barcelona, Juventus FC, Yokohama FC dan banyak lagi,” tegasnya.

Katanya lagi, pada 9 Oktober 2020, KAKB telah menghantar secara rasmi Ringkasan Terma bagi memulakan perbincangan rasmi mengenai perkara-perkara utama untuk diteliti termasuklah butiran hutang dan kaedah penilaian pasukan bagi menentuksahkan nilai pelaburan sebenar bagi Darulaman FC.

” Meskipun kami masih belum menerima sebarang respon mengenai Ringkasan Terma tersebut, kami yakin pihak KFA sedang berusaha meneliti cadangan tersebut demi masa depan bolasepak Hijau Kuning dan dua hari lalu saya berpeluang bercakap terus dengan Menteri Besar merangkap Presiden KFA bagi merungkai isu status kewangan KAKB.

“Saya menyatakan bahawa komitmen pelaburan melalui KAKB yang sedia ada sekarang berjumlah RM15 juta, belum lagi ditambah dengan satu projek penjanaan dana melalui penyokong penyokong Kedah yang merupakan antara penyokong teramai di Malaysia yang bakal dianjurkan kelak sekiranya cadangan ini diterima,” ujarnya.

Pada masa sama, Ahmad Shaizuan mengakui cadangan yang baharu tidak mudah untuk difahami apatah lagi dilaksanakan dan ia menuntut iltizam dan kebijaksanaan dari pihak berkuasa dalam melihat gambaran lebih besar tentang aspek penswastaan iaitu pulangan terhadap perbelanjaan ekonomi negeri.

“Apa sahaja keputusan, KAKB yang terdiri dari anak-anak Kedah terima dengan hati terbuka. Bagi penyokong-penyokong Hijau Kuning, ini adalah permulaan bagi perjuangan ke arah pemilikan saham penyokong. Moga satu masa nanti, ia tercetus di Kedah dan merebak ke seantero Malaya,” jelasnya.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: