Bola Sepak Semasa Terkini

Penghijrahan bermakna Sommerville

Somervilla hanya bolos sebanyak lapan kali dalam saingan Liga Premier musim ini.

PENJAGA gawang Pulau Pinang, Samuel Somerville, tidak menyangka kehadirannya ke skuad Harimau Kumbang pada musim ini menjadi detik terbaik dalam meningkatkan kembali kariernya dalam saingan Liga Malaysia.

Bukan sahaja merangkul gelaran juara Liga Premier bersama Pulau Pinang namun apa paling mustahak, Somerville menjadi antara pemain yang diturunkan dalam semua aksi liga.

Situasi itu mula memberikan keyakinan yang tinggi buat penjaga gol yang berasal dari Bracknell, England ini untuk terus memperagakan persembahan terbaik buat Pulau Pinang terutama dalam saingan Piala Malaysia, tidak lama lagi.

Malah dalam 11 perlawanan diharungi, Somerville menjadi penjaga gol paling kurang dibolosi di Liga Premier iaitu hanya lapan gol dilepaskan.

“Saya harungi banyak pengalaman menarik ketika di Johor dan mahu berterima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) tentang apa yang beliau telah lakukan kepada saya sebelum ini.

“ Namun saya rasa ini adalah saat yang tepat untuk berhijrah dan mendapatkan minit permainan yang lebih banyak dan saya rasa bertuah kerana dapat sertai pasukan yang sudah ada mempunyai mentaliti juara sejak permulaan liga.

“ Hanya bolos sebanyak lapan kali, bagi saya satu pencapaian yang bermakna malah ada juga beberapa perlawanan saya berjaya pastikan gawang tidak dibolosi dan paling penting kejuaraan Liga Premier buat Pulau Pinang.

“ Kini satu lagi impian saya ialah mahu bermain di liga paling tinggi iaitu di Liga Super selepas beberapa musim di sini dan mungkin saya memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri untuk bersaing di peringkat ini.

“ Saya harap musim depan akan menjadi tonik terbaik dalam karier apabila bermain di Liga Super dan diharapkan saya mampu terus kekal bermain di peringkat tertinggi untuk satu tempoh,” katanya.

 

Somerville yang berusia 26 tahun, telah mendapat kerakyatan Malaysia pada 2015 dan mula bersama Johor Darul Ta’zim (JDT II) sejak 2016 hingga 2019 namun sering kali menjadi pilihan kedua di belakang Haziq Nadzli.

Di Pulau Pinang, dia berjaya memikat ketua jurulatih, Manzoor Azwira untuk menjadi penjaga gol nombor satu dan mengetepikan beberapa penjaga gol lain seperti Hazrull Hafiz Zulkifly, Muhd Al-Imran Ishak, Ramadhan Hamid dan Wong Tse Yang.

Dalam masa sama, Somerville berharap pasukannya mampu beri cabaran dalam pentas TM Piala Malaysia sambil berasa lega kerana dapat mengelak berdepan enam pasukan terbaik Liga Super pada pusingan awal.

Melalui format secara kalah mati, dia berharap Pulau Pinang boleh melangkah sejauh mungkin walaupun tidak menafikan pasukan dari  Liga Super masih menjadi pilihan utama untuk muncul juara.

“ Bagi pusingan awal, saya rasa gembira kerana Pulau Pinang tidak berjumpa dengan pasukan pilihan tetapi itu tidak bermakna boleh ambil mudah dengan cabaran pasukan lain.

“ Kami akan cuba untuk mara sejauh mungkin dan tiada tekanan buat Pulau Pinang dalam pertandingan ini selain menghormati kemampuan pasukan lain terutama JDT yang saya lihat antara pilihan utama.

“ Saya berkata begini bukan bermakna gentar untuk berdepan JDT namun jika kami diundi bertemu mereka, saya rasa aksi itu pasti sengit dan kami perlu berikan 100 peratus untuk menang, ” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: