Bola Sepak Semasa

Tiada masalah untuk relegasi

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Windsor memaklumkan apa sahaja yang diputuskan oleh MFL adalah tertakluk kepada kepentingan liga tempatan .

 

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) tiada sebarang masalah menerima pendekatan penganjur Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mengekalkan promosi dan relegasi membabitkan saingan Liga Super dan Liga Premier pada musim ini

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, perkara itu semua tertakluk kepada MFL selain peraturan yang telah ditetapkan walaupun perjalanan liga musim ini hanya satu pusingan iaitu 11 perlawanan, kesan daripada penularan wabak COVID-19 sejak Mac lalu.

Tambahnya, setiap badan pengelola liga negara masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri selepas mengambil kira keperluan terhadap sebarang keputusan membabitkan kepentingan semua rakan kongsi.

“ Selaku penganjur liga, apa sahaja yang diputuskan oleh MFL adalah tertakluk kepada kepentingan liga tempatan mereka sendiri selepas menjaga semua keperluan pasukan yang bertanding.

“Bagi AFC, kami akan menghormati jika keputusan itu diambil oleh FAM dan MFL selain perkara itu ada dibincangkan bersama oleh semua pihak yang berkepentingan yang mewakili semua pasukan yang bertanding.

“Dalam situasi penularan COVID-19 masih berleluasa, mungkin banyak pertimbangan perlu diperhalusi termasuk soal promosi serta relegasi dan bagi AFC, asalkan sesuatu pertandingan itu masih berjalan pada musim ini, kami boleh menerima pendekatan yang dipilih asalkan ia bukan bersifat di luar semangat kesukanan dalam sesuatu pertandingan, “ katanya.

Menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai luar pertandingan, Windsor berkata, perkara itu seperti memilih pemenang atau wakil ke pertandingan AFC berdasarkan daripada keputusan musim sebelumnya.

Jelasnya, pendekatan itu tidak dibenarkan oleh AFC dan setiap pengelola perlu menjalankan sebarang pertandingan yang dipersetujui semua pasukan melibatkan liga atau kejohanan dalam memilih pasukan yang layak.

“ Jika perjalanan sesuatu liga itu terhenti tanpa dapat dijalankan, sebagai contoh, penganjur liga tidak boleh memilih pemenang atau pasukan yang layak dengan hanya memberikan kepada juara atau kedudukan liga sebelum ini.

“ Atau apa-apa sahaja yang berkaitan di luar unsur semangat kesukanan seperti mencabut undi memilih pemenang ketika liga baharu sahaja dimulakan, perkara ini tidak diterima oleh AFC, “ katanya.

MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dato’ Ab. Ghani Hassan pada Rabu mengesahkan yang badan penganjur Liga Malaysia itu telah menerima cadangan daripada enam pasukan yang mahukan tiada relegasi daripada Liga Super ke saingan Liga Premier, musim depan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada masa akan datang walaupun sebelum ini pada 29 Julai lalu, MFL ada menegaskan format penyingkiran kekal seperti biasa di mana dua pasukan terbawah Liga Super 2020 akan turun ke Liga Premier musim 2021 sementara dua pasukan teratas Liga Premier akan naik ke Liga Super 2021.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: