Bola Sepak Terkini

Apa nasib KFA selepas 15 Oktober?


SELEPAS 15 Oktober ini, kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan kembali kosong selepas penyadangnya yang juga Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melepaskan jawatan.

Selepas KFA bergelut dengan kemelut hutang yang mencecah RM14 juta seperti didedahkan oleh Muhammad Sanusi semalam dan beliau mahu melangsaikan sebelum beliau berundur, kini persoalan baru timbul siapakah presiden persatuan tersebut seterusnya.

Semua maklum bahawa perbelanjaan Lang Merah sahaja mencecah lebih RM1 juta sebulan dan mampukah penganti Muhammad Sanusi menjaga kebajikan pemain-pemain sebelum pasukan akan diuruskan sebagai sebuah kelab oleh pengurusan baharu.

Walaupun Kedah merupakan salah satu pasukan yang mempunyai sejarah dan kejayaan yang sarat di Liga Malaysia namun sehingga kini masih belum ada tokoh korporat ataupun jutawan mahu mengambil alih atau membeli pasukan tersebut seperti yang berlaku terhadap Kelantan.

Kedah tidak kurang hebatnya malah muncul tiga pasukan mempunyai penyokong paling ramai selepas Kelantan sebelum diikuti oleh JDT namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda Lang Merah bakal dibeli oleh pemilik baharu.

Momentum dan kejayaan pasukan ini sejak beberapa tahun lalu juga tidak kurang hebat malah muncul juara Piala FA 2019 sehinggalah layak ke pusingan kelayakan Piala AFC 2020 dan pada tahun ini dalam landasan terbaik untuk sekali lagi meraih slot kelayakan Piala AFC 2021 namun masih belum ada yang mahu memiliki pasukan ini.

Sebenarnya ada usaha yang ditunjukkan oleh Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB) untuk memiliki lebih separuh saham di dalam pengurusan baharu kelab bolasepak Kedah namun sehingga kini belum ada pengumuman rasmi dari KFA berhubung perkara tersebut.

Perkara ini seharusnya mengusarkan penyokong Lang Merah kerana selepas 15 Oktober ini apakah nasib pasukan itu selepas mereka kehilangan presiden KFA dua kali berturut-turut selepas Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan terbaharu adalah Muhammad Sanusi.

Kredit harus diberikan kepada Muhammad Sanusi yang berhempas pulas menyakinkan pemain-pemain Kedah melangsaikan semua hutang tertunggak di samping Kedah berdepan ‘serangan’ kluster-kluster baharu Covid-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Seharusnya sudah ada jutawan dari Kedah menyatakan hasrat untuk membeli saham pasukan Kedah dan pasukan ini dilihat mempunyai prospek yang cerah kerana memiliki ramai bakat-bakat bolasepak di peringkat akar umbi selain sokongan peminat mereka tidak mengira umur bermula usia muda sehinggalah ke pangkat tokwan dan toknek!

Jutawan kelahiran Kedah, di mana anda sekarang?


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d