Bola Sepak Semasa Terkini

Pahang, Melaka lesen kelab kebangsaan bersyarat

Sebanyak 10 daripada 12 pasukan lulus dan diberikan lesen kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga Super musim 2021, manakala Pahang dan Melaka hanya diberikan lesen kelab bersyarat sehingga 31 Oktober ini.

Sepuluh pasukan itu adalah Felda United FC, UiTM FC, Johor Darul Ta’zim FC, Kedah FA, PDRM FA, Perak FA, Petaling Jaya City FC, Sabah FA, Selangor FA dan Terengganu FC.

Pengerusi ‘First Instance Body’ (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata Pahang dan Melaka perlu melengkapkan keperluan disyaratkan hujung bulan ini, atau berdepan tindakan denda, pemotongan mata, penurunan liga dan mungkin lesen ditarik balik.

“Surat balas daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) berhubung permohonan Melaka untuk membayar tunggakan secara ansuran didapati tidak jelas. Walaupun LHDN telah terima surat daripada Melaka,  ia tidak jelas mereka bersetuju atau tidak dengan permohonan itu.

“Pahang pula terdapat maklumat yang tidak dimasukkan di dalam surat permohonan kepada LHDN, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Ia memerlukan penjelasan lanjut dari Pahang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata tiga daripada lapan pasukan Liga Premier 2020 telah lulus dan diberikan lesen kelab kebangsaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Premier atau Super musim depan, jika layak.

Tiga pasukan berkenaan adalah Kelantan United FC, Kuala Lumpur FA dan Negeri Sembilan FA manakala lima pasukan lagi – Kuching FA, Kelantan, UKM FC, Pulau Pinang dan Sarawak United FC diberikan lesen kebangsaan bersyarat.

Dalam pada itu, Sheikh Mohd Nasir berkata lapan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) lulus dan diberikan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi musim 2021 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Perak, Selangor, Terengganu FC, Felda United FC, Petaling Jaya FC, Kedah dan Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, kesemua 21 pasukan berjaya melengkapkan proses penswastaan kelab merangkumi pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC).

Bagaimanapun, FAM menegaskan penswastaan kelab serta pemisahan daripada FA ke FC itu adalah fasa pertama dalam proses penswastaan sebelum pasukan diminta menghantar kedua-dua carta organisasi pengurusan FA dan FC berserta portfolio setiap individu terlibat selewat-lewatnya pada 30 Nov depan.–Bernama–

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: