Bola Sepak Terkini

Presiden KFA cadang serah tugas


PRESISDEN Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor bercadang menyerahkan tugas dan urusan bola sepak kepada pihak lebih layak.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, bagaimanapun, berkata langkah itu hanya akan dibuat selepas menyelesaikan terlebih dahulu masalah tunggakan hutang yang ditanggung KFA ketika ini.

“Selepas selesaikan semua hutang-piutang KFA tinggalan pengurusan sebelum ini, saya bercadang untuk menyerahkan urusan bola sepak kepada mereka yang lebih layak memikulnya.

“Ada ramai tokoh yang lebih layak untuk urusan ini. Saya akan kekal sebagai penyokong setia Hijau Kuning,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata KFA bersedia mempertimbang sebarang cadangan daripada peminat pasukan Kedah berkaitan logo baharu Darulaman FC (DFC).

“Ramai peminat pasukan Kedah hantaq (hantar) mai (mari) minta pilih logo-logo ini. Insya-Allah akan dipertimbangkan.

“Pada peringkat ini, Kedah kena selesai dulu keperluan untuk pendaftaran FC mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Cadangan dan pandangan sentiasa dialu-alukan,” katanya.

Semalam, pada satu sidang media, Muhammad Sanusi menunjukkan cadangan logo baharu DFC, namun mendapat kritikan pelbagai pihak kerana dianggap tidak menarik.–Bernama–


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading