KETUA Jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff ternyata gusar dengan prestasi benteng pasukannya apabila membenarkan lawan mendapat empat gol termasuk tiga jaringan dalam tempoh lima minit pada aksi menentang Selangor 2.
Ujarnya, ketiadaan Paulo Josue dan Shukor Adan nyata memberikan impak buat pasukan ekoran ketiadaan jeneral di atas padang yang boleh memimpin rakan sepasukan yang lain.
“Keadaan sedikit kucar kacir kerana tiada jeneral yang boleh bagi arahan di atas padang dan kami akan analisis perlawanan ini sepenuhnya kerana terkejut bagaimana lawan boleh dapatkan tiga gol dalam tempoh yang singkat.
“ Tidak pernah kami bolos empat gol dalam satu perlawanan setakat ini namun saya gembira pengalaman yang ada pada Indra Putra Mahayuddin menjadi penyelamat kepada kita hari ini sebelum mereka bangkit raih kemenangan, “ katanya.
Pada aksi di Stadium KLFA, Cheras itu, pemain tengah Selangor 2, Syazwan Salihin mengejutkan Kuala Lumpur pada minit keempat sebelum Kuala Lumpur melakar tiga jaringan melalui Fakrul Aiman(minit ke-33), Nicolas Dul (minit ke-34) dan Francis Kone (minit ke-41).
Pelawat bagaimanapun menghukum kelonggaran benteng Kuala Lumpur pada minit-62 dan 68 oleh Bajram Nebija serta Danial Asri, minit-66 sebelum jaringan sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin, minit-71 serta Muhd. Izreen, minit-79 memastikan tiga mata millik Kuala Lumpur.
Tiga mata yang diraih skuad Warga Kota itu meletakkan pasukan bakal mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Super dan meninggalkan pencabar terdekat, Kelantan yang berada di tangga kelima dengan 11 mata, perbezaan 9 mata dengan hanya dua lagi baki perlawanan untuk diharungi.
Malah, kemenangan itu juga terus menghidupkan peluang buat Kuala Lumpur untuk terus mengintai kejuaraan Liga Premier dengan pendahulu, Pulau Pinang masih kebal di tangga teratas selepas menang 2-1 ke atas UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Jumaat lalu.
Pada masa sama Nidzam Adzha gembira dengan kejayaan layak ke Liga Super kerana pemain pernah berjanji pada awal musim kepada pihak pengurusan yang mereka mahu hanya satu musim sahaja di Liga Premier selepas tersingkir dari Liga Super, musim lalu.
“ Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang menjaga kebajikan pemain dan keadaan itu membantu pemain bekerja keras sepanjang musim ini bagi realisaskan impian serta janji yang telah dinyatakan iaitu layak ke Liga Super
“ Berbaki dua perlawanan lagi, kami akan cuba mendapatkan enam mata maksimum untuk cuba mengejar kedudukan pendahulu liga serta kita tengok bagaimana peluang kita namun secara keseluruhan, saya telah berpuas hati kerana kita akan ke Liga Super, musim depan, “ katanya.
Add Comment