Bola Sepak Terkini

‘ZamSaham menuntut ilmu Tan Sri Vincent Tan’


ZamSaham (kiri) mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan di The Taaras Beach & Spa Resorts di Terengganu, sebentar tadi

 

Oleh MOHD FARIQ

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan beliau telah menerima salah satu pembelajaran terbaik dalam kariernya selepas mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan.

Awal September lalu, Norizam atau lebih dikenali sebagai ZamSaham mengejutkan dunia bola sepak tempatan selepas menjadi pemilik pasukan Kelantan FC secara rasmi selepas membeli pemilikan penuh syarikat TRW Sdn. Bhd.

Justeru, Norizam menganggap pertemuan dengan Tan Sri Vincent Tan sedikit sebanyak telah memberikannya satu pengalaman baharu di mana beliau mendedahkan Tan Sri Vincent Tan tidak kedekut untuk berkongsi ilmu bola sepak.

“Satu penghormatan besar buat saya di mana semua orang mengetahui Tan Sri Vincent Tan bukan sahaja berjaya di dalam dunia perniagaan sebaliknya bola sepak.

“Beliau antara salah seorang idola saya dan sudah pasti pertemuan dengan Tan Sri Vincent Tan telah memberikan banyak aspek positif kepada diri saya ketika mengemudi Kelantan FC nanti.

“Apa yang pasti, saya akan mendengar nasihat dan tunjuk ajar beliau di mana saya berharap Kelantan FC akan berjaya di masa akan datang,” katanya ketika mengadakan pertemuan di The Taaras Beach & Spa Resorts di Terengganu, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Norizam tidak menolak untuk melakukan persiapan pramusim Kelantan FC di The Taaras Beach & Spa Resorts pada masa akan datang.

“Secara peribadi, resorts yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan adalah tempat ideal buat pasukan saya menjalani persiapan pramusim dan saya sedang merancangkan untuk melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Vincent Tan menasihatkan Norizam agar sentiasa mengekalkan elemen positif ketika membimbing Kelantan FC dalam sukan bola sepak.

Katanya, Norizam yang masih dianggap ‘hijau’ harus bersiap sedia dengan cabaran tertentu yang sudah pasti beliau akan hadapi ketika menjadi pemilik sebuah kelab bola sepak.

“Menjadi pemilik kelab bola sepak adalah satu cabaran cukup sukar dan beliau harus cekal berdepan cabaran ini.

“Saya mendoakan selamat maju jaya kepada beliau dan beliau boleh mendapatkan nasihat saya pada bila-bila masa jika Norizam mahukan,” katanya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d