SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Daerah Kota Setar, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memohon tempoh melengkapkan proses pelesenan kelab bagi pasukan dilanjutkan sehingga 2 Oktober ini.
Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PKPD Pentadbiran yang dikuatkuasakan sehingga 25 September itu menyaksikan semua pejabat agensi kerajaan terlibat tidak dibenarkan beroperasi.
Jelasnya, hal tersebut menyebabkan persatuan itu gagal menyiapkan dokumen seperti yang telah diminta oleh FAM seperti penyata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga menyebabkan urusan pembayara dan penyelarasan tunggakan gagal dilaksanakan.
“Perkara ini bukan disengajakan. Saya mohon pengecualian khusus untuk Kedah selama dua minggu lagi,” katanya.
Semalam media melaporkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi ‘lampu hijau’ kepada FAM untuk mengecualikan KFA daripada menyelesaikan proses pelesenan kelab yang sepatutnya berakhir 31 Ogos lepas.
Stuart menegaskan, keperluan menyambung tempoh lanjutan kepada KFA sekiranya perlu selepas tempoh sedia ada tamat, bergantung kepada kelulusan AFC.
Tambahnya, FAM memahami pelaksanaan PKPD pentadbiran telah memberi kesan kepada KFA menyerahkan dokumen-dokumen terlibat kepada pihaknya dan AFC juga peka dan faham dengan situasi yang melanda Kedah ketika ini.
TAMAT
Add Comment