KETUA Jurulatih Kelantan United FC, Zahasmi Ismail pasrah dengan tindakan pihak pengurusan merehatkannya ketika saingan Liga Premier hanya berbaki empat perlawanan sebelum melabuhkan tirai.
Sambil menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Zahasmi menjelaskan dia sudah melaksanakan tanggungjawab membimbing Kelantan United FC sebaik mungkin namun prestasi semasa jelas tidak memihak pasukannya.
“Betul (direhatkan), saya terima keputusan yang dilakukan oleh pihak pengurusan. Ini adalah jalan terbaik dengan merehatkan saya kerana prestasi pasukan (merosot) kalah tiga perlawanan berturut-turut.
“Saya redha, terima dengan hati terbuka, ini adalah keputusan terbaik yang dibuat oleh pengurusan demi kepentingan kelab ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu di kem Kelantan United FC.
Hari ini, pihak pengurusan kelab berkenaan memuat naik siaran media memaklumkan pengendali berusia 53 tahun itu direhatkan susulan prestasi buruk setelah tewas tiga perlawanan berturut-turut sebaik saingan Liga Premier disambung pada 26 Ogos lalu.
Zahasmi merupakan jurulatih pertama yang direhatkan ketika saingan Liga Malaysia musim ini berdepan cabaran normal baharu susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Turut mengalami nasib sama adalah dua pembantunya, Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali dengan Kelantan United FC kini sedang mencari pengganti baharu untuk mengemudi kelab itu.
Dalam masa sama, Zahasmi turut mengucap terima kasih di atas kepercayaan diberikan oleh pengurusan tertinggi sepanjang dia mengendalikan kelab berkenaan.
“Daripada (beraksi dalam) Liga M3 musim lalu sehingga membawa pasukan ke Liga Premier musim ini, saya terima jodoh saya hanya setakat ini.
“Saya berterima kasih di atas kepercayaan diberikan selama ini dan selamat maju jaya kepada pasukan,” ujarnya lagi.
Add Comment