Bola Sepak Semasa

Sabah enggan terus tercicir

DUA kekalahan berturut-turut termasuk satu dengan angka jaringan besar 4-0 kepada Terengganu FC II, nyata cukup menggusarkan ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto selepas melihat skuad kendaliannya kini telah tercicir dalam zon penyingkiran selepas enam perlawanan.

Beliau sedar sebarang kekalahan selepas ini terutama kepada PJ City FC pada Sabtu ini mungkin boleh menyukarkan lagi peluang skuad Tambadau ini untuk bangkit dan mereka tiada pilihan selain perlu mencari mata semangat bagi memulihkan semula keyakinan Sabah bagi mengharungi saingan CIMB Liga Super.

Tambah Kurniawan, beliau akur ketiadaan aksi persahabatan sebelum sepak mula CIMB Liga Super pada 28 Ogos serba sedikit menjejaskan tahap persediaan pasukannya untuk berada di tahap terbaik.

“Dua keputusan sebelum ini cukup negatif buat kami tetapi saya tidak mahu mencari alasan di sebalik kekalahan tersebut walaupun sedar ketiadaan perlawanan persahabatan tempoh hari beri kesan kepada pemain yang belum bersedia sepenuhnya.

“Biarpun sudah ada tanda peningkatan daripada pemain pada perlawanan menentang Selangor tempoh hari, namun kesilapan mudah terus terjadi yang membuka ruang kepada lawan menghukum kami daripada meraih sebarang mata.

“Saya tidak mahu menyalahkan pemain terhadap apa yang terjadi dan sekarang ini sudah menjadi tugas saya menguatkan mental para pemain agar mereka kembali berasa yakin untuk bangkit pada perlawanan selepas ini.

“Masih ada ruang buat Sabah kerana jurang mata semua pasukan adalah amat kecil dan sesiapa sahaja boleh berada dalam zon penyingkiran, jadi kami perlu memanfaatkan baki perlawanan yang tinggal, ” katanya.

Sabah kini menghuni tangga ke -11 selepas mengutip mata hasil daripada satu kemenangan, dua keputusan seri dan semua keputusan terbabit diperolehi sebelum Liga Malaysia dihentikan pada 16 Mac lalu.

Satu-satunya kemenangan Sabah ialah ketika bertemu Felda United pada aksi kedua CIMB Liga Super menerusi keputusan 3-1 selain seri semasa berdepan PDRM dan Perak.

Berdepan PJ City, Kurniawan dijangka kehilangan pemain pertahanan, Randy Baruh kerana menjalani penggantungan satu perlawanan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

Bagi aksi pada Sabtu ini, Kurniawan tidak memandang rendah kemampuan lawan walaupun skuad kendalian K. Devan juga sedang kemarau tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.

“Saya tidak mensasarkan lawan tertentu untuk meraih mata kerana bagi saya semua pasukan adalah sama dan tiap perlawanan ibarat aksi akhir.

“ PJ City juga sebuah pasukan yang bagus, seperti mana pasukan lain dan saya mahu tekankan kepada pemain, jangan sama sekali memandang rendah akan kekuatan lawan.

“ Jika mereka dapat kurangkan kesalahan dan sentiasa fokus dalam permainan, saya optimis kami boleh raih sesuatu dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: