Bola Sepak

Nidzam Adzha tabik pemain


KETUA Jurulatih Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adzha Yusoff memberi kredit kepada barisan pemainnya setelah berjaya menundukkan Kelantan United FC 2-0 pada aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam semalam.

Mohd Nidzam Adzha berkata, anak buahnya wajar mendapat pujian selepas beraksi mengikut percaturan taktikal ditetapkan ketika mengetepikan tentangan skuad kendalian Zahasmi Ismail, dalam pertemuan itu.

“Tabik kepada pemain kerana mereka bagi komitmen lebih 100 peratus. Paling menguja pemain tidak melakukan kesilapan mudah dan buat pertama kali selepas tujuh perlawanan kita tidak dibolosi.

“Sebenarnya memang kita kena kerja keras di sini (Kota Bharu), tidak boleh melakukan kesilapan kerana kita tahu Kelantan United FC mempunyai pemain muda dan mengamalkan corak permainan laju, jadi kita dah bersedia dengan perlawanan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Skuad The City Boys membawa pulang mata penuh dengan kapten, Paulo Josue cipta sensasi meledak dua gol dalam perlawanan itu sekali gus membantu pasukannya melonjak ke tangga kedua liga.

Jelas pengendali berasal dari Perak itu, anak didiknya beraksi dengan baik apabila berjaya mengekang asakan tuan rumah sehingga berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama.

“Sebenarnya memang pelan datang ke sini, kita nak kekalkan 0-0 dalam babak pertama. Kita bermain 60-40, 60 peratus bertahan dengan tidak bolos dan 40 peratus menyerang.

“Tapi selepas babak kedua, kita dah mula menyerang untuk mencari sekurang-kurangnya satu gol, Alhamdulillah rezeki pasukan malam ini dapat dua gol,” katanya.

Dalam pada itu, pengemudi berusia 52 tahun itu tampak merendah diri walaupun pasukannya kini berada di landasan tepat memburu slot ke Liga Super musim depan.

Tambahnya, perlawanan masih jauh dan Kuala Lumpur harus bersedia menghadapi cabaran lebih besar selepas ini terutama berdepan pasukan yang mempunyai kekuatan setanding dengan mereka.

“Memang sasaran kita hendak kembali ke Liga Super dan layak ke Piala Malaysia tapi kita ada dua perlawanan sangat getir, minggu depan jumpa TFC (Terengganu FC) II dan kemudian Pulau Pinang. Jadi saya harap pasukan dapat kekalkan momentum kemenangan ini pada aksi seterusnya,” ujarnya lagi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d