Oleh Mohd Fariq Rahman
PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak mengambil masa lama untuk mencipta kejutan apabila mencetak gol pertama di bumi Belgium biarpun tewas 1-4 kepada KRC Gent dalam aksi perlawanan persahabatan, semalam.
Dalam perlawanan itu, Luqman diturunkan bersama skuad bawah 21 tahun KV Kortrijk (KVK) dan berjaya melakarkan gol pertama sepanjang bermain 60 minit aksi.
Bagaimanapun, Luqman tidak menolak jaringan pertamanya itu melonjakkan moralnya untuk memberikan persembahan lebih positif buat pasukan yang dimiliki pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.
“Saya sangat gembira kerana sudah selesai tempoh kuarantin dan negatif dalam kedua-dua ujian COVID-19. Saya juga menjalani sesi latihan penuh sepanjang tiga hari lalu.
“Saya juga sangat gembira kerana dapat bermain dalam perlawanan pemanas badan bersama pasukan kedua di mana saya bermain dalam perlawanan persahabatan petang semalam (kelmarin).
“Saya berjaya menjaringkan satu gol walaupun kami tewas 1-4 ketika menentang salah satu kelab tempatan di sini di mana saya dikeluarkan pada minit ke-60 ketika perlawanan terikat 1-1.
“Sekarang saya fokus kepada program istimewa untuk membina fizikal serta tahap kecergasan. Itulah yang dimahukan pengurusan sekarang.
“InsyaAllah saya dapat bermula untuk bermain bersama pasukan dalam Jupiler League Belgium 10 hari akan datang,” katanya kepada Berita Harian.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/08/725506/gol-sulung-lonjak-semangat-luqman
Add Comment