
KETUA jurulatih UKM FC, Sulaiman Husin percaya Kelantan bakal memberikan saingan sengit walaupun pasukan berkenaan kini dibelenggu isu tunggakan gaji, penarikan diri penaja dan pengambilan pemilik baharu.
Tegasnya, barisan pemain UKM FC tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan selain perlu bersedia dari semua aspek bagi meraih keputusan positif di Stadium MPS Selayang petang ini.
“Kelantan adalah pasukan yang hebat dengan pemain-pemain yang bagus. Saya pasti masalah tunggakan gaji tidak menggangu pemain, jadi saya telah ingatkan barisan pemain agar memberi tumpuan penuh dari awal permainan sehinggalah wisel penamat dibunyikan,” ujarnya.
Pada masa sama, Sulaiman turut mengakui skuadnya akan tampil dengan beberapa pemain baharu menggantikan pemain utama yang terpaksa diketepikan ekoran masalah kecederaan.
“Ada beberapa pemain utama terpaksa disisihkan kerana masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan.Positifnya kami memiliki pemain lain yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan memberikan impak kepada pasukan,” ujarnya.
Untuk rekod perlawanan kedua-kedua pasukan ini sepatutnya berlangsung pada 6 Mac lalu di Stadium MP Selayang namun terpaksa dihentikan ketika permainan memasuki minit ke 11 ekoran akibat cuaca buruk.
Add Comment