Bola Sepak Semasa Terkini

AFC tentukan keputusan penghujung Ogos

KEPUTUSAN sama ada skuad bimbingan Brad Maloney akan beraksi pada Kejuaraan Bawah 19 tahun di Uzbekistan, Oktober nanti hanya akan ditentukan penghujung bulan ini.

Perkhabaran ini dimaklumkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang kini menunggu sehingga penghujung bulan ini sebelum membuat sebarang keputusan berkenaan status kejohanan tersebut.

Selain kejohanan yang bakal disertai skuad B19 ini, AFC juga akan membuat keputusan terhadap empat lagi kejohanan lain sama ada diteruskan atau ditunda ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Empat kejohanan lain ialah Kejuaraan Bawah 16 tahun (Bahrain) AFC, Liga Juara-Juara Asia, Piala AFC dan Kejuaraan Futsal (Turkmenistan).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata mesyuarat jawatankuasa pertandingan badan induk itu, semalam membincangkan situasi semasa keadaan Covid-19 yang mengganggu perancangan badan induk itu untuk menganjurkan kejohanan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Masalah yang timbul akibat Covid-19 tidak memberi kita kebebasan untuk bergerak ke satu negara ke satu negara, tempoh kuarantin dan sebagainya. Jadi kita bincang tentang keutamaan pertandingan yang harus diteruskan, secara kesimpulan kita sentiasa mendapatkan maklumat dan akan menunggu sehingga hujung bulan ini untuk buat keputusan.

“Kita ada lima kejohanan tahun ini. Keputusan sukar dibuat kerana setiap hari kes Covid-19 sentiasa berubah dan mungkin apabila hampir dengan tarikh kejohanan keadaan akan menjadi baik. Banyak perkara yang belum pasti jadi kita tunggu sekurang-kurangnya 31 Ogos ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Windsor memberitahu semua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung pada Oktober dan November ini akan dilangsungkan pada Mac tahun depan.

“Kita akan habiskan semua perlawanan kelayakan pusingan kedua pada Mac tahun depan. Semua pasukan akan menghabiskan baki perlawanan mereka dan FIFA juga telah mengumumkan jadual baharu sekali gus memberi tempoh masa untuk AFC merangka semula semua jadual pertandingan yang terganggu akibat Covid-19,” tegasnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: