INTER Milan mahu menamatkan 10 tahun tanpa trofi di pentas antarabangsa apabila melangkah ke pentas akhir Liga Europa musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas Inter membelasah tanpa belas kasihan kelab dari Ukraine, Shakhtar Donetsk 5-0 pada peringkat separuh akhir di Esprit Arena, awal pagi tadi.
Pengurus pasukan, Antonio Conte menghambur kata-kata pujian kepada pemain apabila Inter kembali ke kancah peringkat akhir kejohanan Eropah sejak bertahun lamanya.
“Kami bermain permainan yang sangat bagus dan saya sangat gembira prestasi pemain. Mereka bekerja sangat keras setiap hari sehingga mendapat jawapan daripada pemain saya yang sangat bagus. Bagi saya, ia adalah satu kepuasan.
“Saya tahu ia sukar dilupakan. Inter Milan adalah pasukan yang hebat. Sekarang, setelah 10 tahun, kami mempunyai kemungkinan untuk menjulang trofi. Ini adalah kepuasan yang besar bagi saya dan para pemain.
“Kami ingin memberikannya (trofi) kepada para peminat. Kami harus bermain dengan pasukan yang kuat. Sevilla juga tahu persaingan ini.
“Kami memiliki banyak pemain yang beraksi untuk pertama kalinya dalam pertandingan ini. Tetapi kami mempunyai semangat, kami mempunyai kekuatan dan kami ingin memberikan kepuasan kepada peminat kami,” kata Conte kepada BT Sport.
Kelab Serie A itu akan menentang bekas juara edisi kejohanan lima kali, Sevilla pada perlawanan akhir yang akan diadakan di RheinEnergieStadion pada awal pagi Sabtu ini.
Add Comment